Pengenalan
Undang-undang ialah suatu kumpulan peraturan ataupun ketetapan yang digubal
dan telah oleh semua oleh kerajaan. Undang-undang ini haruslah adil,
bersesuaian dan boleh diterima pakai secara umumnya oleh semua lapisan
masyarakat. Tujuan undang-undang ini diwujudkan ialah untuk mentadbir sesebuah
masyarakat di mana ianya haruslah dipraktikkan dan dipatuhi tanpa mengira
pangkat. Kegagalan untuk mematuhi undang-undang akan menyebabkan tindakan
berbentuk hukuman dilaksanakan ke atas pesalah undang-undang. Bagi peraturan
yang bersifat norma-norma ataupun amalan sesuatu budaya, ianya tidak dianggap
sebagai undang-undang yang perlu dikuatkuasakan. Sebarang pelanggaran atau
salah laku ke atasnya tidak dikenakan hukuman atau denda sebaliknya dipandang
serong atau cemuhan oleh masyarakat sekeliling.
Undang-undang terbahagi kepada dua jenis iaitu undang-undang awam dan
undang-undang persendirian. Undang-undang awam diwujudkan untuk mentadbir sesebuah
negara dan mengawal perhubungan antara individu dengan negara manakala
undang-undang persendirian diwujudkan supaya hak kepentingan di antara individu
dan masyarakat mempunyai jaminan dan garis panduan. Secara amnya undang-undang
awam ini melibatkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat. Terdapat tiga
kategori dalam undang-undang awam iaitu undang-undang perlembagaan,
undang-undang pentadbiran dan undang-undang jenayah.
Undang-undang perlembagaan terbahagi kepada tiga badan berkuasa dalam
sistem pemerintahan kerajaan iaitu Badan Perundangan, Badan Pemerintah dan
Badan Kehakiman. Tiga bahagian badan berkuasa ini perlu wujud kerana ianya
adalah salah satu syarat bagi kerajaan yang mengamalkan Sistem Demokrasi
Berparlimen. Tujuan undang-undang perlembagaan ini diwujudkan adalah bagi
memastikan hak-hak rakyat terlindung dan begitu juga kepada pemimpin agar tidak
menyalahgunakan kuasa. Selain itu undang-undang ini dapat menjamin kestabilan
sosial, ekonomi, politik dan negara.
Undang-Undang Pentadbiran secara dasarnya berhubung kait dengan pentadbiran
dan pelaksanaan kuasa eksekutif dalam pentadbiran negara. Ianya diwujudkan bagi
memastikan ketelusan serta tanggungjawab yang patut diamalkan didalam proses
pentadbiran sesebuah negara. Antara fungsi undang-undang pentadbiran ialah
orang awam dilindungi di bawah udang-undang ini di mana orang awam boleh
membuat tuntutan ganti rugi bagi kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana
pegawai atau pihak berkuasa.
Undang-undang jenayah pula diwujudkan bagi mengawal masyarakat daripada
melakukan kesalahan-kesalahan jenayah. Ianya bertujuan untuk melindungi sesama
individu mahupun kerajaan. Sekiranya pelaku jenayah didapati bersalah di
mahkamah, pelaku akan menerima hukuman yang telah diperuntukkan mengikut
kesalahan-kesalahan yang dilakukan. Antara hukuman yang diperuntukkan ialah
hukuman penjara untuk sesuatu tempoh, denda, sebatan dan hukuman gantung sampai
mati. Dengan adanya undang-undang ini
masyarakat di sesebuah negara dapat hidup dengan rasa selamat dan
terjamin.
Di bawah undang-undang persendirian juga terdapat beberapa kategori
antaranya ialah undang-undang kontrak, tort, undang-undang perbankan,
undang-undang keluarga, undang-undang wasiat, undang-undang harta benda dan
sebagainya. Fungsi undang-undang yang diwujudkan di bawah undang-undang
persendirian ini adalah untuk melindungi hak-hak di antara individu dimana
pihak yang teraniaya dapat pampasan sekiranya terdapat pelanggaran syarat yang
telah ditetapkan dan dipersetujui bersama. Sebagai contoh di bawah undang-undang
kontrak jika salah satu pihak tidak mematuhi atau melanggar syarat-syarat
perjanjian yang telah dipersetujui maka pihak yang ingkar akan membayar
pampasan atau dilucutkan dari kontrak.
Perbezaan Undang-Undang Awam dan Undang-Undang Persendirian.
Berdasarkan huraian antara undang-undang awam dan undang-undang
persendirian kita dapat melihat terdapat perbezaan yang sangat ketara kita
dapat lihat. Secara dasarnya undang-undang awam melibatkan hubungan di antara
kerajaan dengan rakyat di mana ianya melibatkan kepentingan dan keselamatan
awam. Sebagai contoh kesalahan jenayah adalah suatu kesalahan yang serius
seperti melakukan rompakan, membunuh dan mengedar dadah. Kesalahan-kesalahan
seperti ini akan didakwa oleh peguam persekutuan dan dibawa ke mahkamah untuk
dibicarakan. Jika didapati bersalah hukuman akan dijatuhkan dengan peruntukan
hukuman sedia ada. Sebagai contoh seseorang yang ditangkap oleh polis kerana
mengedar dadah akan didakwa oleh pendakwa atau peguam persekutuan di bawah Akta
Dadah Berbahaya 1952 Seksyen 39B bahawa tiada orang atau mana-mana pihak
didalam Malaysia dibenarkan mengedar, menawarkan atau memiliki dadah merbahaya.
Jika tertuduh didapati bersalah maka hukuman yang diperuntukkan ialah mati
mandatori.
Manakala undang-undang persendirian pula melibatkan
hubungan di antara rakyat dengan rakyat di mana ianya melibatkan kepentingan
individu. Dalam kes kesalahan sivil tidaklah melibatkan kesalahan yang serius
seperti kesalahan jenayah. Kesalahan sivil ini biasanya melibatkan tuntutan
ganti rugi yang dibawa ke mahkamah diwakili oleh peguam plaintif iaitu pihak
yang mendakwa manakala pihak yang didakwa pula dipanggil sebagai defendan juga
diwakili oleh peguam masing-masing. Sebagai contoh sewa rumah yang tertunggak
selama setahun. Jika tuan rumah ada menyediakan perjanjian sewa antara penyewa
dan tuan rumah yang sah dari segi undang-undang, tuan rumah boleh membuat
tuntutan melalui mahkamah ke atas penyewa tersebut dibawah undang-undang
kontrak, Akta Kontrak 1950 Seksyen 2H bahawa suatu perjanjian yang boleh
dikuatkuasakan oleh undang-undang ditafsirkan sebagai kontrak. Namun dalam
kes-kes sebegini adalah digalakkan penyelesaian dibuat di luar mahkamah.
Walaupun fungsi dan peranan undang-undang awam dengan
undang-undang persendirian berbeza dan tidak mempunyai hubungkait, terdapat
juga kes-kes yang akan melibatkan kedua-dua undang-undang ini. Sebagai sebuah
bas express yang membawa penumpang terlibat dengan kemalangan jalanraya hingga
melibatkan kecederaan parah dan kehilangan nyawa. Setelah siasatan dijalankan
didapati pemandu memandu bas itu melebihi had laju yang dibenarkan serta cuai.
Pemandu itu boleh didakwa dibawah Akta Pengangkutan jalan Raya 1987 seksyen
41(1). Dibawah seksyen ini adalah dinyatakan bahawa individu yang memandu suatu
kenderaan motor di jalan secara melulu atau laju, setelah mengambil kira semua
keadaan termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan, dan kesesakan lalu lintas yang
dijangkakan yang ada atau mungkin ada di jalan itu merbahaya kepada orang awam
hingga menyebabkan kematian mana-mana orang. Jika disabitkan kesalahan
hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun atau
tidak lebih daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada lima ribu
ringgit dan tidak lebih daripada dua puluh ribu ringgit.
Disamping itu, dibawah undang-undang tort kategori
kecuaian, mangsa atau waris daripada kemalangan bas itu boleh membuat tuntutan
rugi dan pampasan ke atas pemandu bas dan syarikat bas express berkenaan. Dalam
kes ini kita dapat lihat dengan jelas di mana pemandu bas itu bukan sahaja
didakwa oleh mahkamah kerana kecuaian hingga menyebabkan kematian tetapi juga
dibicarakan di mahkamah kerana kes tuntutan kerugian oleh mangsa kemalangan bas
itu.
Dua Jenis Undang-Undang Awam
Undang-undang awam seperti yang dinyatakan dalam
pengenalan diatas terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu undang-undang
jenayah, undang-undang perlembagaan dan undang-undang pentadbiran. Di sini saya
akan membincangkan lagi lebih lanjut tentang undang-undang jenayah dan
undang-undang perlembagaan. Seperti yang kita maklum tujuan undang-undang
jenayah diwujudkan bagi mengawal, mengatur dan membendung kezaliman dalam
kehidupan masyarakat. Dengan adanya undang-undang ini pelaku-pelaku jenayah
dapat di hukum mengikut jenis-jenis kesalahan jenayah yang telah dilakukan
seperti mencuri, membunuh, merogol dan mencederakan orang lain.
Antara hukuman yang diperuntukan ialah hukuman penjara,
sebatan dan hukuman gantung sampai mati. Namun sebelum hukuman ini dijatuhkan,
pihak pendakwa iaitu peguam persekutuan bukti jenayah yang kukuh sebelum
dihadapkan ke mahkamah. Di Malaysia sumber undang-undang jenayah ialah Kanun
Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah. Kanun Keseksaan ialah salah satu aspek
utama dalam pentadbiran undang-undang jenayah di mana ia juga dikenali sebagai
undang-undang substantif. Manakala Kanun Tatacara Jenayah pula dikenali sebagai
undang-undang prosidur di mana Kanun Tatacara Jenayah ini mempunyai prosidur
penangkapan, pencarian, penyiasatan dan perbicaraan.
Sebagai contoh walaupun suspek ditahan oleh pihak polis,
individu tersebut mempunyai hak-hak tersendiri. Antaranya ialah semasa
penahanan atau tangkapan dibuat pihak perlu memberitahu dengan segera
sebab-sebab dia ditangkap dan dibenarkan untuk berunding dan dibela oleh
pengamal undang-undang yang dilantik olehnya. Prosidur ini terdapat dalam (Perkara 5 Fasal (3)
Perlembagaan Persekutuan). Selepas itu, jika seorang suspek ditahan dalam
tempoh melebihi 24 jam, individu tersebut perlu dihadapkan ke seorang Majistret
untuk ditahan lebih lanjut dibawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah. Lazimnya di
Malaysia prosidur penahanan adalah berdasarkan Akta Polis 1967, Kanun Acara
Jenayah dan peraturan lokap.
Di Malaysia Undang-Undang Perlembagaan dianggap sebagai
undang-undang tertinggi. Ianya merupakan merupakan undang-undang yang
mengandungi peraturan dan prinsip-prinsip asas kepada pembentukan kerajaan dan
juga panduan kepada kerajaan untuk melaksanakan kuasa dan mentadbir negara.
Perlembagaan boleh diklasifikasikan kepada dua iaitu perlembagaan bertulis dan
perlembagaan tidak bertulis.
Perlembagaan bertulis ialah sumber undang-undang utama di
Malaysia. Dalam perlembagaan bertulis mengandungi Perlembagaan
Persekutuan,Perlembagaan Negeri,undang-undang yang digubal oleh Parlimen atau
Dewan Undangan Negeri dan perundangan kecil yang diperbuat oleh badan-badan
yang diberi kuasa oleh Akta Parlimen dan Ordinan atau Enakmen Dewan Undangan
Negeri. Fungsi utama perlembagaan diwujudkan adalah untuk memberikan jaminan
dan perlindungan kepada rakyat. Dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia
terdapat 15 Bahagian,183 Perkara dan 13 Jadual yang merangkumi pelbagai aspek
pemerintahan seperti kebebasan asasi, kuasa dan kedudukan Yang Dipertuan Agong,
keistimewaan Raja-raja Melayu dan hak orang Melayu, soal bahasa Melayu, agama,
kewarganegaraan, kehakiman dan sebagainya.
Sebagai contoh, Perkara 32, Ketua Utama Negara bagi persekutuan dan
isterinya. Dalam perkara ini menyatakan bahawa Ketua Utama Negara yang digelar
Yang Di Pertuan Agong hendaklah diutamakan lebih dari mana-mana orang dalam
persekutuan. Ketua Utama Negara juga tidak boleh dikenakan apa-apa prosiding di
mana-mana mahkamah dalam Malaysia kecuali Mahkamah Khas yang ditubuhkan di
bawah bahagian XV. Dalam perkara ini juga menyatakan bahawa Raja Permaisuri
Agong hendaklah diutamakan daripada mana-mana orang selepas Yang Di Pertuan
Agong. Selain itu, dalam perkara ini juga menyebut bahawa Yang Dipertuan Agong
hendaklah dipilih melalui Majlis Raja-Raja dalam tempoh 5 tahun sekali. Dalam
Perkara 153 pula menyatakan bahawa Yang Di Pertuan Agong bertanggungjawab dalam
menjaga kedudukan istimewa orang Melayu, bumiputera dan kaum-kaum yang sah di
mana-mana dalam negeri Sabah dan Sarawak.
Perlembagaan tidak bertulis pula terdiri daripada prinsip-prinsip
perlembagaan yang tidak direkodkan atau dicatat secara khusus dalam apa-apa
dokumen. Ianya tidak digubal oleh mana-mana badan perundangan, parlimen mahupun
dewan undangan negeri di Malaysia. Sebaliknya undang-undang ini meliputi budaya
dan adat negeri masing-masing. Antara jenis – jenis undang-undang tidak
bertulis ini ialah, undang-undang adat, undang-undang islam dan undang-undang
lazim (common law). Undang-undang ini dianggap sebagai sumber kedua di dalam
Malaysia mengikut negeri masing-masing. Sebagai contoh masyarakat Islam di
Malaysia adalah tertakluk dengan undang-undang Islam di mana ada
perkara-perkara yang dilarang dalam ajaran agama Islam. Sumber undang-undang Islam
ialah Al Quran, hadis dan Sunnah ianya juga dikendalikan oleh Majlis Agama
Islam. Fungsi undang-undang Islam dalam negara ini ialah mengeluarkan fatwa,
mengendalikan wakaf dan memberikan nasihat kepada masyarakat yang beragama Islam.
Undang-undang adat pula adalah berasakan amalan mengikut suku kaum
masing-masing. Sebagai contoh di negeri Sabah dan Sarawak mengamalkan adat-adat
bumiputera di mana dianggap sebagai ordinan undang-undang adat bumiputera.
Dalam ordinan undang-undang adat bumiputera merangkumi pengurusan warisan
harta, pemilikan tanah, hukuman mengikut kesalahan, perkahwinan dan perceraian.
Sebagai contoh pemilikan tanah di Sabah hanya boleh dimiliki oleh anak jati
negeri Sabah, perkahwinan yang mengikut adat suku kaum Kadazan Dusun haruslah
mempunyai surat perjanjian yang disahkan oleh Ketua Kampung dimana sebarang
pelanggaran perjanjian akan dikenakan denda berbentuk seekor kerbau atau
lain-lain.
Peranan Undang-Undang Awam dalam Keadilan
Secara umumnya salah satu faktor utama undang-undang diwujudkan adalah
untuk mengawal dan membanteras kelakuan masyarakat daripada melakukan
kesalahan. Setiap jenis undang-undang itu memainkan peranannya masing-masing
dalam aktiviti seharian kita. Sebagai contoh dalam undang-undang jenayah
kesalahan mencuri, suspek akan ditangkap atau ditahan bagi membantu siasatan. Walaubagaimanapun
setiap penahanan yang di buat haruslah mengikut prosidur-prosidur yang telah
ditetapkan di dalam Akta Polis 1967, Kanun Acara Jenayah dan Peraturan lokap
dan bukannya secara membuta tuli. Dengan adanya akta ini bukan sahaja dapat
membantu pihak polis untuk menguatkuasakan undang-undang tetapi juga membantu
penjenayah ditahan dan disiasat dengan adil. Dalam kata lain penjenayah ini
tidaklah rasa ditindas dan berasa tidak adil ke atas dirinya.
Setelah bukti di kumpul dan dapat dihubungkaitkan dengan suspek itu
seterusnya akan dibawa ke mahkamah untuk didakwa. Tertuduh akan diberi peluang
untuk membuat pengakuan supaya mengaku bersalah dan sebagai balasan hukuman
yang lebih ringan akan dijatuhkan ke atasnya. Runding aku ini akan di buat di
dalam kamar hakim bersama-sama dengan pendakwa raya dan sebarang keputusan yang
dicapai akan dijadikan sebagai asas untuk menjatuhkan hukuman oleh hakim dalam
perbicaraan nanti. Di sini kita dapat melihat bagaimana tertuduh diberi peluang
dan dilayan dengan adil mengikut sistem undang-undang jenayah. Sewaktu
perbicaraan di mahkamah, pendakwa raya akan mengemukakan bukti dan saksi-saksi
bagi menyokong pendakwaan dan didengari serta diteliti oleh hakim sebelum
menjatuhkan hukuman.
Sekiranya tertuduh didapati bersalah, maka hukuman akan dijatuhkan ke
atasnya mengikut Kanun Keseksaan. Jika tertuduh berasa tidak puas hati dengan
hukuman yang dikenakan, tertuduh boleh membuat rayuan di mahkamah yang lebih
tinggi. Begitu juga dengan pendakwa raya sekiranya tertuduh didapati tidak
bersalah pendakwa raya tersebut boleh membuat rayuan di mahkamah yang lebih
tinggi.
Apabila tertuduh yang dijatuhkan hukuman penjara oleh hakim untuk tempoh
yang diperintahkan, dia dikenali sebagai banduan dan semasa dalam penjara dia
tidak boleh dibebaskan sehinggalah tamat hukuman. Sepanjang tempoh penahanan
dia akan tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang di dalam penjara.
Dalam tempoh tersebut dia haruslah mengikuti semua program pemulihan yang
dilaksanakan ke atasnya. Pemulihan bertujuan untuk memastikan banduan yang
dibebaskan dari penjara akan dapat berdikari dan tidak mengulangi semula
kesalahan jenayah. Di sini jelas di mana kesalahan jenayah yang dilakukan akan
ditangani dan ditadbir dengan adil dan saksama kepada setiap pesalah laku
jenayah. Bagi masyarakat umum pula akan berasa yakin dan terjamin dengan
pelaksanaan undang-undang yang telah ditetapkan.
Untuk contoh yang lebih ringkas lagi ialah kesalahan trafik, kesalahan
trafik ini adalah kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Pengangkutan 1987. Di
bawah akta ini kesalahan dikategorikan kepada tiga jenis iaitu kesalahan boleh
di kompaun, saman tidak boleh di kompaun dan kesalahan yang boleh ditangkap.
Denda minimum di bawah akta ini ialah RM300 dan boleh mencapai hingga RM10,000
mengikut kesalahan yang dilakukan. Sebagai contoh kesalahan trafik ialah tiada
cukai jalan dan insurans yang tamat tempoh, saman akan dikeluarkan ke atas
pesalah trafik. Pembayaran kompaun boleh dibayar sebelum tarikh luput yang
ditetapkan seperti yang dinyatakan didalam saman Polis 257 pin.4/95 dari tarikh
saman dikeluarkan. Jika saman ini gagal dibayar pesalah laku trafik tersebut
dikehendaki hadir ke mahkamah untuk dibicarakan. Di sini juga jelas kita lihat
adalah penting untuk kita mengikut peraturan Jalanraya yang telah ditetapkan
seperti kesalahan di atas tadi jika kenderaan kita mempunyai cukai jalan dan
insurans kenderaan terlibat dengan kemalangan akan mengakibatkan kerugian
terhadap diri sendiri.
Secara keseluruhannya, undang-undang yang digubal adalah bersesuaian dengan
mengikut peredaran semasa dan sesuai digunakan dalam aktiviti kehidupan
seharian masyarakat. Jika semua orang dapat mengaplikasikan undang-undang dan
peraturan yang telah ditetapkan, ianya bukan sahaja dapat melindungi diri sendiri
tetapi juga mendisiplinkan cara hidup kita agar lebih teratur dan terjamin. Di
samping itu ianya dapat juga membantu mengurangkan kadar jenayah di dalam
negara serta menstabilkan ekonomi negara. Ini adalah kerana kadar jenayah yang
sangat tinggi akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi. Sebagai contoh, jika kes
peragut berleluasa di pusat membeli belah dan sekitar bandar raya akan
menyebabkan jumlah pengunjung berkurangan. Kesan daripada ini, aktiviti
perniagaan di pusat membeli belah akan terjejas dan merudum.
Kesimpulan
Kesimpulannya, Setiap undang-undang yang diwujudkan berperanan penting
dalam pelaksanaannya terhadap kepada masyarakat dan negara. Kita sebagai rakyat
negara ini adalah tertakluk di bawah Undang-Undang Perlembagaan Malaysia dan
adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menghormati dan mematuhinya. Ianya
bukan sahaja adil tetapi juga melindungi hak-hak individu di dalam negara ini. Dengan
adanya undang-undang ini semua orang akan menikmati keadilan dan kesaksamaannya
jika mencapai tahap keseimbangan bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga kepada
negara dan semua lapisan masyarakat.
No comments:
Post a Comment