Wednesday 13 September 2017

Perbezaan Undang-Undang Awam dan Undang-Undang Persendirian

Pengenalan

Undang-undang ialah suatu kumpulan peraturan ataupun ketetapan yang digubal dan telah oleh semua oleh kerajaan. Undang-undang ini haruslah adil, bersesuaian dan boleh diterima pakai secara umumnya oleh semua lapisan masyarakat. Tujuan undang-undang ini diwujudkan ialah untuk mentadbir sesebuah masyarakat di mana ianya haruslah dipraktikkan dan dipatuhi tanpa mengira pangkat. Kegagalan untuk mematuhi undang-undang akan menyebabkan tindakan berbentuk hukuman dilaksanakan ke atas pesalah undang-undang. Bagi peraturan yang bersifat norma-norma ataupun amalan sesuatu budaya, ianya tidak dianggap sebagai undang-undang yang perlu dikuatkuasakan. Sebarang pelanggaran atau salah laku ke atasnya tidak dikenakan hukuman atau denda sebaliknya dipandang serong atau cemuhan oleh masyarakat sekeliling.

Undang-undang terbahagi kepada dua jenis iaitu undang-undang awam dan undang-undang persendirian. Undang-undang awam diwujudkan untuk mentadbir sesebuah negara dan mengawal perhubungan antara individu dengan negara manakala undang-undang persendirian diwujudkan supaya hak kepentingan di antara individu dan masyarakat mempunyai jaminan dan garis panduan. Secara amnya undang-undang awam ini melibatkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat. Terdapat tiga kategori dalam undang-undang awam iaitu undang-undang perlembagaan, undang-undang pentadbiran dan undang-undang jenayah.

Undang-undang perlembagaan terbahagi kepada tiga badan berkuasa dalam sistem pemerintahan kerajaan iaitu Badan Perundangan, Badan Pemerintah dan Badan Kehakiman. Tiga bahagian badan berkuasa ini perlu wujud kerana ianya adalah salah satu syarat bagi kerajaan yang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen. Tujuan undang-undang perlembagaan ini diwujudkan adalah bagi memastikan hak-hak rakyat terlindung dan begitu juga kepada pemimpin agar tidak menyalahgunakan kuasa. Selain itu undang-undang ini dapat menjamin kestabilan sosial, ekonomi, politik dan negara.

Undang-Undang Pentadbiran secara dasarnya berhubung kait dengan pentadbiran dan pelaksanaan kuasa eksekutif dalam pentadbiran negara. Ianya diwujudkan bagi memastikan ketelusan serta tanggungjawab yang patut diamalkan didalam proses pentadbiran sesebuah negara. Antara fungsi undang-undang pentadbiran ialah orang awam dilindungi di bawah udang-undang ini di mana orang awam boleh membuat tuntutan ganti rugi bagi kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana pegawai atau pihak berkuasa.

Undang-undang jenayah pula diwujudkan bagi mengawal masyarakat daripada melakukan kesalahan-kesalahan jenayah. Ianya bertujuan untuk melindungi sesama individu mahupun kerajaan. Sekiranya pelaku jenayah didapati bersalah di mahkamah, pelaku akan menerima hukuman yang telah diperuntukkan mengikut kesalahan-kesalahan yang dilakukan. Antara hukuman yang diperuntukkan ialah hukuman penjara untuk sesuatu tempoh, denda, sebatan dan hukuman gantung sampai mati. Dengan adanya undang-undang ini  masyarakat di sesebuah negara dapat hidup dengan rasa selamat dan terjamin.


Di bawah undang-undang persendirian juga terdapat beberapa kategori antaranya ialah undang-undang kontrak, tort, undang-undang perbankan, undang-undang keluarga, undang-undang wasiat, undang-undang harta benda dan sebagainya. Fungsi undang-undang yang diwujudkan di bawah undang-undang persendirian ini adalah untuk melindungi hak-hak di antara individu dimana pihak yang teraniaya dapat pampasan sekiranya terdapat pelanggaran syarat yang telah ditetapkan dan dipersetujui bersama. Sebagai contoh di bawah undang-undang kontrak jika salah satu pihak tidak mematuhi atau melanggar syarat-syarat perjanjian yang telah dipersetujui maka pihak yang ingkar akan membayar pampasan atau dilucutkan dari kontrak.

Perbezaan Undang-Undang Awam dan Undang-Undang Persendirian.

Berdasarkan huraian antara undang-undang awam dan undang-undang persendirian kita dapat melihat terdapat perbezaan yang sangat ketara kita dapat lihat. Secara dasarnya undang-undang awam melibatkan hubungan di antara kerajaan dengan rakyat di mana ianya melibatkan kepentingan dan keselamatan awam. Sebagai contoh kesalahan jenayah adalah suatu kesalahan yang serius seperti melakukan rompakan, membunuh dan mengedar dadah. Kesalahan-kesalahan seperti ini akan didakwa oleh peguam persekutuan dan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan. Jika didapati bersalah hukuman akan dijatuhkan dengan peruntukan hukuman sedia ada. Sebagai contoh seseorang yang ditangkap oleh polis kerana mengedar dadah akan didakwa oleh pendakwa atau peguam persekutuan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 Seksyen 39B bahawa tiada orang atau mana-mana pihak didalam Malaysia dibenarkan mengedar, menawarkan atau memiliki dadah merbahaya. Jika tertuduh didapati bersalah maka hukuman yang diperuntukkan ialah mati mandatori.

Manakala undang-undang persendirian pula melibatkan hubungan di antara rakyat dengan rakyat di mana ianya melibatkan kepentingan individu. Dalam kes kesalahan sivil tidaklah melibatkan kesalahan yang serius seperti kesalahan jenayah. Kesalahan sivil ini biasanya melibatkan tuntutan ganti rugi yang dibawa ke mahkamah diwakili oleh peguam plaintif iaitu pihak yang mendakwa manakala pihak yang didakwa pula dipanggil sebagai defendan juga diwakili oleh peguam masing-masing. Sebagai contoh sewa rumah yang tertunggak selama setahun. Jika tuan rumah ada menyediakan perjanjian sewa antara penyewa dan tuan rumah yang sah dari segi undang-undang, tuan rumah boleh membuat tuntutan melalui mahkamah ke atas penyewa tersebut dibawah undang-undang kontrak, Akta Kontrak 1950 Seksyen 2H bahawa suatu perjanjian yang boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang ditafsirkan sebagai kontrak. Namun dalam kes-kes sebegini adalah digalakkan penyelesaian dibuat di luar mahkamah.

Walaupun fungsi dan peranan undang-undang awam dengan undang-undang persendirian berbeza dan tidak mempunyai hubungkait, terdapat juga kes-kes yang akan melibatkan kedua-dua undang-undang ini. Sebagai sebuah bas express yang membawa penumpang terlibat dengan kemalangan jalanraya hingga melibatkan kecederaan parah dan kehilangan nyawa. Setelah siasatan dijalankan didapati pemandu memandu bas itu melebihi had laju yang dibenarkan serta cuai. Pemandu itu boleh didakwa dibawah Akta Pengangkutan jalan Raya 1987 seksyen 41(1). Dibawah seksyen ini adalah dinyatakan bahawa individu yang memandu suatu kenderaan motor di jalan secara melulu atau laju, setelah mengambil kira semua keadaan termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan, dan kesesakan lalu lintas yang dijangkakan yang ada atau mungkin ada di jalan itu merbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian mana-mana orang. Jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun atau tidak lebih daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada lima ribu ringgit dan tidak lebih daripada dua puluh ribu ringgit.

Disamping itu, dibawah undang-undang tort kategori kecuaian, mangsa atau waris daripada kemalangan bas itu boleh membuat tuntutan rugi dan pampasan ke atas pemandu bas dan syarikat bas express berkenaan. Dalam kes ini kita dapat lihat dengan jelas di mana pemandu bas itu bukan sahaja didakwa oleh mahkamah kerana kecuaian hingga menyebabkan kematian tetapi juga dibicarakan di mahkamah kerana kes tuntutan kerugian oleh mangsa kemalangan bas itu.

Dua Jenis Undang-Undang Awam

Undang-undang awam seperti yang dinyatakan dalam pengenalan diatas terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu undang-undang jenayah, undang-undang perlembagaan dan undang-undang pentadbiran. Di sini saya akan membincangkan lagi lebih lanjut tentang undang-undang jenayah dan undang-undang perlembagaan. Seperti yang kita maklum tujuan undang-undang jenayah diwujudkan bagi mengawal, mengatur dan membendung kezaliman dalam kehidupan masyarakat. Dengan adanya undang-undang ini pelaku-pelaku jenayah dapat di hukum mengikut jenis-jenis kesalahan jenayah yang telah dilakukan seperti mencuri, membunuh, merogol dan mencederakan orang lain.

Antara hukuman yang diperuntukan ialah hukuman penjara, sebatan dan hukuman gantung sampai mati. Namun sebelum hukuman ini dijatuhkan, pihak pendakwa iaitu peguam persekutuan bukti jenayah yang kukuh sebelum dihadapkan ke mahkamah. Di Malaysia sumber undang-undang jenayah ialah Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah. Kanun Keseksaan ialah salah satu aspek utama dalam pentadbiran undang-undang jenayah di mana ia juga dikenali sebagai undang-undang substantif. Manakala Kanun Tatacara Jenayah pula dikenali sebagai undang-undang prosidur di mana Kanun Tatacara Jenayah ini mempunyai prosidur penangkapan, pencarian, penyiasatan dan perbicaraan.

Sebagai contoh walaupun suspek ditahan oleh pihak polis, individu tersebut mempunyai hak-hak tersendiri. Antaranya ialah semasa penahanan atau tangkapan dibuat pihak perlu memberitahu dengan segera sebab-sebab dia ditangkap dan dibenarkan untuk berunding dan dibela oleh pengamal undang-undang yang dilantik olehnya. Prosidur ini  terdapat dalam (Perkara 5 Fasal (3) Perlembagaan Persekutuan). Selepas itu, jika seorang suspek ditahan dalam tempoh melebihi 24 jam, individu tersebut perlu dihadapkan ke seorang Majistret untuk ditahan lebih lanjut dibawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah. Lazimnya di Malaysia prosidur penahanan adalah berdasarkan Akta Polis 1967, Kanun Acara Jenayah dan peraturan lokap.

Di Malaysia Undang-Undang Perlembagaan dianggap sebagai undang-undang tertinggi. Ianya merupakan merupakan undang-undang yang mengandungi peraturan dan prinsip-prinsip asas kepada pembentukan kerajaan dan juga panduan kepada kerajaan untuk melaksanakan kuasa dan mentadbir negara. Perlembagaan boleh diklasifikasikan kepada dua iaitu perlembagaan bertulis dan perlembagaan tidak bertulis.
Perlembagaan bertulis ialah sumber undang-undang utama di Malaysia. Dalam perlembagaan bertulis mengandungi Perlembagaan Persekutuan,Perlembagaan Negeri,undang-undang yang digubal oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dan perundangan kecil yang diperbuat oleh badan-badan yang diberi kuasa oleh Akta Parlimen dan Ordinan atau Enakmen Dewan Undangan Negeri. Fungsi utama perlembagaan diwujudkan adalah untuk memberikan jaminan dan perlindungan kepada rakyat. Dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia terdapat 15 Bahagian,183 Perkara dan 13 Jadual yang merangkumi pelbagai aspek pemerintahan seperti kebebasan asasi, kuasa dan kedudukan Yang Dipertuan Agong, keistimewaan Raja-raja Melayu dan hak orang Melayu, soal bahasa Melayu, agama, kewarganegaraan, kehakiman dan sebagainya.

Sebagai contoh, Perkara 32, Ketua Utama Negara bagi persekutuan dan isterinya. Dalam perkara ini menyatakan bahawa Ketua Utama Negara yang digelar Yang Di Pertuan Agong hendaklah diutamakan lebih dari mana-mana orang dalam persekutuan. Ketua Utama Negara juga tidak boleh dikenakan apa-apa prosiding di mana-mana mahkamah dalam Malaysia kecuali Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah bahagian XV. Dalam perkara ini juga menyatakan bahawa Raja Permaisuri Agong hendaklah diutamakan daripada mana-mana orang selepas Yang Di Pertuan Agong. Selain itu, dalam perkara ini juga menyebut bahawa Yang Dipertuan Agong hendaklah dipilih melalui Majlis Raja-Raja dalam tempoh 5 tahun sekali. Dalam Perkara 153 pula menyatakan bahawa Yang Di Pertuan Agong bertanggungjawab dalam menjaga kedudukan istimewa orang Melayu, bumiputera dan kaum-kaum yang sah di mana-mana dalam negeri Sabah dan Sarawak.

Perlembagaan tidak bertulis pula terdiri daripada prinsip-prinsip perlembagaan yang tidak direkodkan atau dicatat secara khusus dalam apa-apa dokumen. Ianya tidak digubal oleh mana-mana badan perundangan, parlimen mahupun dewan undangan negeri di Malaysia. Sebaliknya undang-undang ini meliputi budaya dan adat negeri masing-masing. Antara jenis – jenis undang-undang tidak bertulis ini ialah, undang-undang adat, undang-undang islam dan undang-undang lazim (common law). Undang-undang ini dianggap sebagai sumber kedua di dalam Malaysia mengikut negeri masing-masing. Sebagai contoh masyarakat Islam di Malaysia adalah tertakluk dengan undang-undang Islam di mana ada perkara-perkara yang dilarang dalam ajaran agama Islam. Sumber undang-undang Islam ialah Al Quran, hadis dan Sunnah ianya juga dikendalikan oleh Majlis Agama Islam. Fungsi undang-undang Islam dalam negara ini ialah mengeluarkan fatwa, mengendalikan wakaf dan memberikan nasihat kepada masyarakat yang beragama Islam.

Undang-undang adat pula adalah berasakan amalan mengikut suku kaum masing-masing. Sebagai contoh di negeri Sabah dan Sarawak mengamalkan adat-adat bumiputera di mana dianggap sebagai ordinan undang-undang adat bumiputera. Dalam ordinan undang-undang adat bumiputera merangkumi pengurusan warisan harta, pemilikan tanah, hukuman mengikut kesalahan, perkahwinan dan perceraian. Sebagai contoh pemilikan tanah di Sabah hanya boleh dimiliki oleh anak jati negeri Sabah, perkahwinan yang mengikut adat suku kaum Kadazan Dusun haruslah mempunyai surat perjanjian yang disahkan oleh Ketua Kampung dimana sebarang pelanggaran perjanjian akan dikenakan denda berbentuk seekor kerbau atau lain-lain.

Peranan Undang-Undang Awam dalam Keadilan

Secara umumnya salah satu faktor utama undang-undang diwujudkan adalah untuk mengawal dan membanteras kelakuan masyarakat daripada melakukan kesalahan. Setiap jenis undang-undang itu memainkan peranannya masing-masing dalam aktiviti seharian kita. Sebagai contoh dalam undang-undang jenayah kesalahan mencuri, suspek akan ditangkap atau ditahan bagi membantu siasatan. Walaubagaimanapun setiap penahanan yang di buat haruslah mengikut prosidur-prosidur yang telah ditetapkan di dalam Akta Polis 1967, Kanun Acara Jenayah dan Peraturan lokap dan bukannya secara membuta tuli. Dengan adanya akta ini bukan sahaja dapat membantu pihak polis untuk menguatkuasakan undang-undang tetapi juga membantu penjenayah ditahan dan disiasat dengan adil. Dalam kata lain penjenayah ini tidaklah rasa ditindas dan berasa tidak adil ke atas dirinya.

Setelah bukti di kumpul dan dapat dihubungkaitkan dengan suspek itu seterusnya akan dibawa ke mahkamah untuk didakwa. Tertuduh akan diberi peluang untuk membuat pengakuan supaya mengaku bersalah dan sebagai balasan hukuman yang lebih ringan akan dijatuhkan ke atasnya. Runding aku ini akan di buat di dalam kamar hakim bersama-sama dengan pendakwa raya dan sebarang keputusan yang dicapai akan dijadikan sebagai asas untuk menjatuhkan hukuman oleh hakim dalam perbicaraan nanti. Di sini kita dapat melihat bagaimana tertuduh diberi peluang dan dilayan dengan adil mengikut sistem undang-undang jenayah. Sewaktu perbicaraan di mahkamah, pendakwa raya akan mengemukakan bukti dan saksi-saksi bagi menyokong pendakwaan dan didengari serta diteliti oleh hakim sebelum menjatuhkan hukuman.

Sekiranya tertuduh didapati bersalah, maka hukuman akan dijatuhkan ke atasnya mengikut Kanun Keseksaan. Jika tertuduh berasa tidak puas hati dengan hukuman yang dikenakan, tertuduh boleh membuat rayuan di mahkamah yang lebih tinggi. Begitu juga dengan pendakwa raya sekiranya tertuduh didapati tidak bersalah pendakwa raya tersebut boleh membuat rayuan di mahkamah yang lebih tinggi.

Apabila tertuduh yang dijatuhkan hukuman penjara oleh hakim untuk tempoh yang diperintahkan, dia dikenali sebagai banduan dan semasa dalam penjara dia tidak boleh dibebaskan sehinggalah tamat hukuman. Sepanjang tempoh penahanan dia akan tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang di dalam penjara. Dalam tempoh tersebut dia haruslah mengikuti semua program pemulihan yang dilaksanakan ke atasnya. Pemulihan bertujuan untuk memastikan banduan yang dibebaskan dari penjara akan dapat berdikari dan tidak mengulangi semula kesalahan jenayah. Di sini jelas di mana kesalahan jenayah yang dilakukan akan ditangani dan ditadbir dengan adil dan saksama kepada setiap pesalah laku jenayah. Bagi masyarakat umum pula akan berasa yakin dan terjamin dengan pelaksanaan undang-undang yang telah ditetapkan.

Untuk contoh yang lebih ringkas lagi ialah kesalahan trafik, kesalahan trafik ini adalah kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Pengangkutan 1987. Di bawah akta ini kesalahan dikategorikan kepada tiga jenis iaitu kesalahan boleh di kompaun, saman tidak boleh di kompaun dan kesalahan yang boleh ditangkap. Denda minimum di bawah akta ini ialah RM300 dan boleh mencapai hingga RM10,000 mengikut kesalahan yang dilakukan. Sebagai contoh kesalahan trafik ialah tiada cukai jalan dan insurans yang tamat tempoh, saman akan dikeluarkan ke atas pesalah trafik. Pembayaran kompaun boleh dibayar sebelum tarikh luput yang ditetapkan seperti yang dinyatakan didalam saman Polis 257 pin.4/95 dari tarikh saman dikeluarkan. Jika saman ini gagal dibayar pesalah laku trafik tersebut dikehendaki hadir ke mahkamah untuk dibicarakan. Di sini juga jelas kita lihat adalah penting untuk kita mengikut peraturan Jalanraya yang telah ditetapkan seperti kesalahan di atas tadi jika kenderaan kita mempunyai cukai jalan dan insurans kenderaan terlibat dengan kemalangan akan mengakibatkan kerugian terhadap diri sendiri.

Secara keseluruhannya, undang-undang yang digubal adalah bersesuaian dengan mengikut peredaran semasa dan sesuai digunakan dalam aktiviti kehidupan seharian masyarakat. Jika semua orang dapat mengaplikasikan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan, ianya bukan sahaja dapat melindungi diri sendiri tetapi juga mendisiplinkan cara hidup kita agar lebih teratur dan terjamin. Di samping itu ianya dapat juga membantu mengurangkan kadar jenayah di dalam negara serta menstabilkan ekonomi negara. Ini adalah kerana kadar jenayah yang sangat tinggi akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi. Sebagai contoh, jika kes peragut berleluasa di pusat membeli belah dan sekitar bandar raya akan menyebabkan jumlah pengunjung berkurangan. Kesan daripada ini, aktiviti perniagaan di pusat membeli belah akan terjejas dan merudum.

Kesimpulan


Kesimpulannya, Setiap undang-undang yang diwujudkan berperanan penting dalam pelaksanaannya terhadap kepada masyarakat dan negara. Kita sebagai rakyat negara ini adalah tertakluk di bawah Undang-Undang Perlembagaan Malaysia dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menghormati dan mematuhinya. Ianya bukan sahaja adil tetapi juga melindungi hak-hak individu di dalam negara ini. Dengan adanya undang-undang ini semua orang akan menikmati keadilan dan kesaksamaannya jika mencapai tahap keseimbangan bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga kepada negara dan semua lapisan masyarakat.

Sistem Operasi Telefon Mudah Alih