Friday 8 December 2017

Prinsip Keadilan Asasi Dalam Siasatan Dalaman

Prinsip Keadilan Asasi Dalam Siasatan Dalaman 

Bagi menjamin kelancaran sesebuah industri, kod-kod tatatertib, kontrak perkhidmatan dan arahan-arahan haruslah dipatuhi sepenuhya untuk mengelakkan siasatan dalaman dilakukan. Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran kod-kod tatatertib atau kontrak perkhidmatan oleh mana-mana pekerja, maka dia boleh dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak majikan. Sebelum tindakan tatatertib dibuat, satu siasatan dalaman akan dibuat oleh pegawai pendakwa yang dilantik bagi mengumpul bukti-bukti kesalahan sebelum tuduhan dibuat. Prosedur siasatan dalaman ini dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dipersetujui dalam sesebuah organisasi.

Konsep siasatan dalaman mempunyai persamaan dengan perbicaraan yang dijalankan di dalam mahkamah, yang membezakannya ialah perbicaraan di mahkamah ialah kesalahan jenayah yang dilakukan terhadap individu atau masyarakat. Manakala perbicaraan siasatan dalaman pula ialah salah laku tatatertib atau pelanggaran kontrak perkhidmatan seseorang pekerja dalam sesebuah organisasi. Perbicaraan siasatan dalaman ini dilakukan di dalam syarikat sahaja dan di adili oleh ahli jawatankuasa tatatertib yang dilantik oleh syarikat.

Selain itu, perbicaraan yang dijalankan di mahkamah adalah berlandaskan Kanun Prosedur Jenayah, Akta Keterangan dan Kanun Keseksaan. Manakala perbicaraan siasatan dalaman pula dijalankan mengikut Prinsip Keadilan Asasi. Pegawai penyiasat tidak mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman kepada tertuduh melainkan ahli jawatankuasa tatatertib yang akan memutuskan hukuman yang telah diperuntukan mengikut jenis-jenis kesalahan yang dilakukan. Hukuman–hukuman yang diperuntukan oleh syarikat pula tidak boleh melebihi hukuman-hukuman yang terkandung dalam Akta Kerja 1955 bagi Semenanjung Malaysia dan Ordinan Sabah/Sarawak bagi Timur Malaysia.

Sebagai contoh setelah siasatan dalaman dilakukan oleh pihak majikan jika didapati bersalah  mengikut peruntukan hukuman yang paling berat iaitu penamatan perkhidmatan atau lebih dikenali sebagai dibuang kerja. Hukuman ini adalah sah dari segi undang-undang kerana ia telah mematuhi Akta Kerja 1955, Seksyen 14(1) di semenanjung atau Ordinan Buruh Sabah Seksyen 13(1) di negeri Sabah. Kedua-dua kandungan ini adalah sama iaitu,

Seorang majikan bolehlah, atas alasan-alasan salah laku yang berlawanan dengan pematuhan syarat-syarat perkhidmatan yang nyata atau tersirat, selepas siasatan yang sepatutnya;
a)          Memecat pekerja tanpa notis
b)         Menurun pangkat pekerja
c)          Mengenakan apa-apa hukuman ringan lain sebagaimana yang disifatkannya adil dan patut, dan jika hukuman penggantungan tanpa gaji dikenakan, ia tidak boleh melebihi suatu tempoh dua minggu.

Dalam akta ini jelas menyatakan bahawa majikan tidak boleh sewenang-wenangnya menamatkan perkhidmatan seorang pekerja walaupun pekerja itu telah melanggar kod tatatertib yang telah ditetapkan. Siasatan dalaman ini adalah prosedur tetap sebelum sebarang hukuman boleh dijatuhkan oleh jawatankuasa tatatertib.

Walaubagaimana pun jika seseorang pekerja yang ditamatkan perkhidmatannya merasakan situasi itu tidak adil ke atas dirinya, pekerja berkenaan boleh memfailkan aduan kepada Mahkamah Perusahaan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Seksyen 20. Isi kandung seksyen 20 ini menyatakan bahawa mana-mana pekerja samada dia ahli kesatuan pekerja ataupun sebaliknya dipecat tanpa sebab dan alasan yang munasabah oleh majikannya, boleh membuat representasi secara bertulis kepada Mahkamah Perusahaan untuk dipulihkan semula ke jawatan asal. Jelas sekali di bawah akta ini memberikan perlindungan kepada pekerja-pekerja yang yang dipecat tanpa sebab dan alasan yang munasabah dan memberikan peluang agar dikembalikan jawatan asalnya. Namun, akta ini tidak terpakai jika tuntutan ini buat melebihi tempoh had masanya iaitu 60 hari dari tarikh pemecatan.

Prinsip Keadilan Asasi


Bagi mengelakkan kes-kes yang melibatkan penamatan perkhidmatan boleh dirujuk semula ke Mahkamah Perusahaan, adalah penting bagi pihak majikan mengendalikan proses siasatan dalaman ini dengan menggunakan Prinsip Keadilan Asasi. Prinsip ini tidak ada mempunyai penjelasan yang khusus di dalam mana-mana akta atau peraturan yang melibatkan prosedur siasatan dalaman. Namun pemakaian prinsip ini adalah meluas dan merupakan syarat minima untuk menjamin keadilan dalam perbicaraan siasatan dalaman.

Prinsip keadilan asasi ini telah lama wujud dan ianya dikembangkan daripada Sistem Common Law Inggeris. Menurut Lord Evershed, Master of the Rolls “Natural Justice is the natural sense of what is right and wrong.” [1] Di mana ia bermaksud keadilan asasi ialah sifat semulajadi antara betul dan salah. Maka adalah penting prinsip ini digunakan sebagai asas untuk membuat suatu keputusan yang adil dan saksama oleh mana-mana badan atau individu yang diberi tanggungjawab untuk bertindak secara kehakiman.

Prinsip keadilan asasi terdiri daripada dua aspek utama yang perlu dipatuhi iaitu prinsip yang pertama audi alteram partem. Dibawah prinsip ini ia membawa maksud orang yang berkenaan atau tertuduh diberi peluang yang mencukupi untuk menyatakan kesnya semasa perbicaraan. Terdapat ciri-ciri yang perlu dipatuhi dibawah prinsip audi alteram partem ini iaitu;

a)          Keperluan notis pemberitahuan tentang kesalahan kepada pekerja yang berkenaan.
b)         Peluang untuk membuat representasi jawapan atau hujah kesnya dalam masa yang munasabah. Representasi ini boleh dibuat secara lisan atau bertulis.
c)          Hak untuk menyoal saksi dan diwakili oleh peguam.
d)         Hak untuk diberitahu keputusan dan alasan keputusan
e)          Pertimbangan berdasarkan kes terdahulu dan prinsip "pembebasan dahulu" (autrefois acquit), "sabitan dahulu" (autretois comvict), dan res judicata;
f)            Hak untuk merayu dan dengar semula

Untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai ciri-ciri dibawah prinsip audi alteram partem, berikut ialah penjelasan yang lebih terperinci bagi setiap ciri-ciri tersebut. Bermula dengan ciri-ciri yang pertama iaitu Keperluan Notis Pemberitahuan kepada pekerja yang didapati melakukan kesalahan. Adalah penting di sini bagi tertuduh mendapat notis pemberitahuan kepadanya supaya situasi itu adil kerana tanpa notis pemberitahuan akan berlaku pertikaian keadilan asasi dalam kesnya.

Sebagai contoh bagi keperluan notis pemberitahuan, dalam kes Surrinder Singh Kanda lwn Kerajaan Malaysia [2] Hakim Lord Denning menyebut;
“Jika hak untuk didengari hendak dijadikan hak sebenar-benarnya yang amat bermakna, ia hendaklah juga dikaitkan dengan hak orang yang dituduh untuk mengetahui kes yang dikenakan terhadapnya”.
Dengan erti kata lain, hak untuk diberitahu kesalahan yang telah dilakukan ialah salah satu ciri utama  dalam hak keadilan asasi. Antara perkara-perkara yang penting perlu dinyatakan dalam notis pemberitahuan ialah;

  1. Masa dan tarikh kesalahan dilakukan
  2. Tempat kesalahan dilakukan
  3. Jenis kesalahan/perbuatan yang dilakukan
  4. Kepada siapa dan dengan siapa kesalahan dilakukan
  5. Peruntukan undang-undang atau peraturan yang telah dilanggar oleh pekerja berkenaan.

Sekiranya seorang pekerja dituduh lebih daripada satu tuduhan, maka tuduhan yang pertama dan kedua haruslah diberitahu juga bagi mengelakkan pelanggaran prinsip keadilan asasi. Sebagai contoh kes Lembaga Pemegatig Amanah lawan Mahmud[3], jika ada dua tuduhan atau pengaduan terhadap seseorang janganlah memberitahu orang itu satu tuduhan sahaja.

Setelah tuduhan diberitahu kepada pekerja berkenaan, pekerja tersebut hendaklah diberi peluang untuk membuat representasi dengan tempoh masa yang paling munasabah. Ciri-ciri ini adalah kedua dalam prinsip audi alteram partem. Representasi ini adalah peluang atau ruang untuk pekerja berkenaan memberikan jawapan dan dan alasan bagi membela diri daripada tuduhan yang dikenakan ke atasnya. Dalam kes Russel lawan Duke of Norfok[4], Ketua Hakim Tucker ada menyebut bahawa:
“Keperluan keadilan asasi mestilah bergantung kepada persekitaran kes, bentuk siasatan yang dijalankan, peraturan dengan mana tribunal itu bertindak, perkara pokok yang diuruskan dan sebagainya….salah satunya ialah dia diberi peluang untuk menyatakan kesnya”.

Bagi konsep masa yang paling munasabah dalam membuat representasi pula ukuran sesuatu masa itu sukar ditentukan. Ini adalah kerana ianya bergantung kepada kes masing-masing di mana bagi kategori kes yang rumit memerlukan masa yang lebih untuk mendapatkan maklumat yang mendalam berbanding kes yang mudah. Contohnya kes penyelewengan adalah lebih rumit dan memerlukan banyak masa untuk menyediakan bahan atau saksi jika dibandingkan dengan kes pergaduhan ditempat kerja semasa untuk membuat representasi membela diri. Oleh yang demikian kebanyakan syarikat pada hari ini telah menetapkan masa yang munasabah untuk membuat pekerja yang dituduh membuat representasi iaitu tempoh masa yang minimum ialah 14 hari manakala maksimum ialah 21 hari.

Semasa membuat representasi, tertuduh boleh membuat secara lisan atau bertulis kepada ahli jawatankuasa tatatertib. Dalam kes Peguam Negara lawan Ryan[5] ada menyebut bahawa tiada peraturan tetap yang menyatakan bahawa mendengar hujah mestilah dengan cara lisan. Ini adalah kerana sesetengah orang tidak mahir dalam tulisan tetapi pandai menyampaikan hujah secara lisan. Dalam kes In re Moore[6], hasil mesyuarat mahkamah ada menyebut bahawa dalam perbicaraan oleh tribunal ( seperti jawatankuasa tatatertib ), peraturan tetap penerimaan keterangan seperti di mahkamah tidak semestinya diikuti. Tribunal tidak terikat untuk menerima keterangan dalam mahkamah. Ia boleh menerima keterangan lain seperti pengetahuan peribadi dan luahan, asalkan ia ada nilai yang boleh disahkan.

Bagi ciri-ciri yang ketiga iaitu hak menyoal saksi dan hak diwakili oleh peguam ialah di mana seseorang pekerja yang dituduh berhak untuk menyoal saksi yang dibawanya dalam perbicaraan dan di wakili oleh peguam untuk membela kesnya. Dalam artikel “ Administrative Law in Malaysia” Professor MP Jain ada menyebut bahawa tidak ada peraturan yang mengenepikan orang yang berkenaan diwakili oleh peguam atau tidak bergantung kepada sepenuhnya budi bicara pihak berkuasa yang berkenaan. Walaubagaimanapun timbul persoalan di mana adakah perlu bagi pekerja yang berkenaan berhak untuk menyoal saksi. Bagi mencapai keadilan asasi yang ditekankan, dalam kes De Vertuil lawan Knaggs,[7] ada menyatakan bahawa hak menyoal saksi yang dibawa tidak diperlukan oleh keadilan asasi. Ini bermaksud apabila jawatankuasa tatatertib memanggil saksi-saksi, pekerja yang dituduh hendaklah diberi peluang untuk menyoal balas saksi bagi dirinya.

Ciri-ciri yang seterusnya hak untuk diberitahu dan alasan keputusan kes iaitu apabila jawatankuasa tatatertib telah mencapai sesuatu keputusan maka tertuduh berhak untuk diberitahu keputusan kes tersebut dan alasan keputusan itu. Ini adalah kerana keputusan kes itu yang akan menentukan masa depan perkhidmatan pekerja berkenaan. Sebagai contoh sekiranya tertuduh di dapati bersalah, pekerja berkenaan berhak diberitahu untuk membolehkannya menggunakan hak membuat rayuan. Sekiranya tidak didapati bersalah pula semestinya pekerja berkenaan tidak perlu berbuat demikian. Untuk alasan keputusan pula, ianya adalah perlu bagi pekerja berkenaan mengambil maklum akan alasan keputusan terhadapnya supaya pertikaian boleh dibuat sekiranya alasan yang diberi tidak munasabah.

Untuk ciri-ciri hak tidak dihukum dua kali atas kesalahan yang sama di mana seseorang yang telah jatuhkan hukuman atau dibebaskan daripada tuduhan tidak boleh dibicarakan semula atas kesalahan yang sama. Hak ini adalah terpakai dalam kepada siasatan dalaman dengan merujuk kepada kes Mohamed Yusof Samadi lawan Peguam Negara Singapura[8] di mana Y seorang guru telah didakwa di Mahkamah Majistret atas lima tuduhan di bawah Seksyen 354, Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah ke atas empat orang murid perempuan yang menjatuhkan maruah murid-muridnya. Hasil daripada perbicaraan di Mahkamah Majistret , Y telah dilepaskan dan dibebaskan daripada semua tuduhan. Kemudian Suruhanjaya Perkhidmatan Awam telah mengenakan lima tuduhan terhadap Y di bawah Peraturan 4, Peraturan Perkhidmatan Awam (Tindakan Tatatertib) 1970, dengan tujuan buang kerja.  Lima tuduhan itu adalah tentang penyalahgunaan kedudukannya sebagai guru dengan melakukan perbuatan menjatuhkan maruah lima orang murid perempuan yang berkenaan. Y telah membuat bantahan dan memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang menjadikan kuasanya di bawah Peraturan II dengan mengenakan tindakan tatatertib Y adalah tidak munasabah, melampaui batas, menyalahgunakan kuasa dan tidak selaras serta melanggar prinsip keadilan asasi dan melanggar Perkara 7(2) Perlembagaan.  Oleh sebab itu sebab Y telah dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Majistret, maka menjadi satu halangan (estoppel) atau res judicata dan tidak selaras bagi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mengenakan tuduhan yang sama dan pernyataan fakta atau menimbulkan sebahagian besar isu yang sama seperti dalam kes yang telah menyebabkan Y dibebaskan.

Oleh yang demikian dalam kes ini Y di tuduh sebanyak dua kali atas kesalahan yang sama tetapi hendak dibicarakan dengan menggunakan kanun keseksaan dan tindakan tatatertib di mana ia berbeza dan telah melanggari prinsip keadilan asasi.

Ciri-ciri yang terakhir di bawah prinsip audi alteram partem ialah hak untuk merayu dan di dengar semula di mana pekerja yang tidak berpuas hati dengan keputusan jawatankuasa tatatertib ke atasnya berhak membuat rayuan. Antara rayuan yang boleh dibuat ialah hukuman di ringankan, keputusan yang dibuat adalah salah dan memohon untuk jawatankuasa tatatertib membuat pertimbangan semula ke atas bukti atau fakta kes. Selepas rayuan dibuat, majikan akan menubuhkan satu jawatankuasa rayuan tatatertib  bagi mendengar kes rayuan yang dibuat oleh pekerja berkenaan. Sebagai contoh seorang pekerja didapati bersalah kerana tidak hadir bertugas sedangkan pekerja berkenaan telah mengemukakan dokumen perubatan sebagai bukti tidak hadir bertugas. Namun jawatankuasa tatatertib tidak mengambil kira akan dokumen perubatan tersebut, oleh itu pekerja berkenaan telah membuat rayuan di atas alasan dokumen perubatan yang dikemukakan tidak dipertimbangkan oleh jawatankuasa tatatertib.

Prinsip keadilan asasi yang kedua pula ialah prinsip tidak berat sebelah (bias) atau dalam bahasa latin nemo judex in causa sua polest. Maksudnya seseorang yang berkepentingan dalam sesuatu kes yang dikendalikannya, oleh itu dia tidak layak untuk mengendalikan kes tersebut kerana keputusan kes akan dipengaruhi atas sebab-sebab pihak yang berkepentingan atau mempunyai perhubungan yang seumpama dengannya. Sebagai contoh jika salah seorang daripada ahli jawatankuasa tatatertib mempunyai kepentingan kewangan dalam siasatan dalaman akan menimbulkan keadaan berat sebelah. Dalam kes R lawan Hamond,[9] Hakim Blackburn menyatakan jika wujud kepentingan kewangan walaupun sedikit sudah cukup untuk mengatakan dia berat sebelah.

Bagi yang ada hubungan kait seperti pertalian atau persaudaraan juga akan menimbulkan situasi kes berat sebelah. Terdapat dua jenis keadaan yang menentukan berat sebelah kerana mempunyai pertalian atau persaudaraan iaitu contoh yang pertama dalam siasatan dalaman jika salah seorang jawatankuasa tatatertib mempunyai hubungan keluarga seperti sepupu atau anak saudara dengan tertuduh, maka ia boleh dianggap bahawa kes itu akan menjadi berat sebelah. Contoh yang kedua pula ialah di mana ahli jawatankuasa tatatertib merupakan ahli pertubuhan yang sama dengan tertuduh maka situasi ini juga akan mempengaruhi keputusan kes di mana wujud berat sebelah.

Ketidakadilan Kepada Majikan


Dengan ini adalah penting bagi majikan untuk menerapkan prinsip-prinsip keadilan asasi dalam siasatan dalaman agar setiap kes di kendalikan dengan saksama dan adil kepada pekerja yang dituduh. Walaubagaimanapun timbul juga ketidakadilan kepada majikan dalam melaksanakan prinsip ini apabila pekerja yang dituduh dengan sengaja mengambil kesempatan menggunakan prinsip ini untuk kepentingan diri. Dibawah prinsip audi alteram partem, notis pemberitahuan yang mesti disampaikan kepada pekerja yang dituduh di mana dengan sengaja mengelak untuk tidak menerima notis tersebut. Ini menyebabkan prosedur tatatertib tidak dapat diteruskan. Begitu juga dengan peluang membuat representasi atau hujah dengan masa yang munasabah secara lisan atau bukan lisan di mana terma masa yang munasabah itu disalahgunakan sebagai medium untuk menangguhkan perbicaraan.

 Sebagai contoh apabila tarikh perbicaraan telah ditetapkan tertuduh tidak hadir dengan memberi alasan-alasan kecemasan seperti sakit, masalah keluarga atau ahli keluarga sakit tenat dan sebagainya supaya perbicaraan itu ditangguhkan ke tarikh yang lain. Adakalanya suatu kes itu akan memakan masa hingga berbulan-bulan kerana untuk menetapkan suatu tarikh perbicaraan syarikat mengambil kira akan masa ahli-ahli jawatankuasa tatatertib yang juga terikat dengan kerja hakiki. Keadaan ini tidak adil kepada majikan kerana ianya menyebabkan syarikat menanggung kerugian dari segi masa dan kewangan di mana walaupun tertuduh masih dalam perbicaraan tetapi masih menerima gaji bulanan.

Selain itu, pihak majikan juga mengalami dilema semasa menyediakan tempat perbicaraan di mana tempat itu haruslah dalam keadaan yang selesa dan menyenangkan bagi pekerja yang dituduh. Ini adalah kerana tempat perbicaraan yang kurang selesa bagi tertuduh boleh dijadikan pertikaiaan dengan menjadi alasan tempat itu terlalu jauh, tidak selesa dan keadaan bilik menyebabkan emosi mereka terganggu. Sebagai contoh, bagi syarikat yang mempunyai cawangan-cawangan di luar kawasan bandar mereka tidak mempunyai kemudahan bilik perbicaraan seperti di ibu pejabat. Jika perbicaraan diadakan di ibu pejabat, ianya akan membebankan pekerja berkenaan dari segi kos tempat tinggal, pengangkutan dan masa perjalanan. Ini akan dijadikan sebagai isu bahawa pihak syarikat tidak bersikap adil dan sengaja memberikan tekanan kepada pekerja berkenaan.

Oleh yang demikian berdasarkan contoh-contoh yang diberi memang timbul ketidakadilan bagi pihak majikan semasa melaksanakan siasatan dalaman demi mematuhi prinsip-prinsip keadilan ini.

Cadangan Pindaan Undang-Undang


Cadangan yang pertama ialah bilangan cuti bersalin kepada 90 hari yang mana di dalam Akta kerja 1955, Bahagian IX Perlindungan Cuti Bersalin (d) ii. menyatakan  bahawa tempoh layak cuti bersalin tidak kurang daripada 60 hari dalam setahun. Adalah dicadangkan agar tempoh layak cuti bersalin ini dipinda kepada tidak kurang daripada 90 hari setahun. Ini adalah untuk memberi ruang masa yang lebih semasa tempoh berpantang melebihi 44 hari untuk tujuan kesihatan badan dan kestabilan emosi. Selain itu tempoh 90 hari ini adalah relevan di mana ia juga memberikan masa untuk ibu-ibu membuat persediaan penjagaan anak sewaktu kembali ke tempat kerja. Pada masa kini tidak mudah bagi ibubapa mencari pusat penjagaan anak yang sesuai dalam masa yang singkat. Selain itu tempoh 90 hari ini juga dapat membantu sedikit sebanyak dalam saranan Kementerian Kesihatan Malaysia Polisi Penyusuan Susu Ibu. Impak daripada cadangan pindaan ini ialah produktiviti  pekerja wanita yang kembali dari cuti bersalin ini tidak jatuh dan lebih fokus dengan kerja.

Cadangan pindaan yang seterusnya juga melibatkan bilangan cuti iaitu cuti tahunan daripada yang sedia ada dalam Akta Kerja 1955, Bahagian XII,60E (1) iaitu seorang pekerja layak mendapat cuti tahunan berbayar;
a)          8 hari untuk tempoh 12 bulan dengan majikan yang sama bagi tempoh perkhidmatan  kurang dua tahun
b)         12 hari untuk tempoh 12 bulan dengan majikan yang sama bagi tempoh dua tahun ke atas tetapi dibawah 5 tahun
c)          16 hari untuk tempoh 12 bulan dengan majikan yang sama bagi tempoh 5 tahun ke atas

Cadangan cuti tahunan berbayar ini dipinda seperti berikut;
a)          14 hari untuk tempoh 12 bulan dengan majikan yang sama bagi tempoh perkhidmatan  kurang dua tahun
b)         16 hari untuk tempoh 12 bulan dengan majikan yang sama bagi tempoh dua tahun ke atas tetapi dibawah 5 tahun
c)          18 hari untuk tempoh 12 bulan dengan majikan yang sama bagi tempoh 5 tahun ke atas
Tujuan pindaan cuti ini dibuat adalah kerana sebilangan majikan memberikan cuti tahunan berbayar yang berbeza antara pekerja bukan eksekutif dan pekerja eksekutif. Perbezaan cuti tahunan  bagi pekerja bukan eksekutif dan pekerja eksekutif ini sangat besar hingga tidak adil kepada pekerja bukan ekeskutif. Sebagai contoh syarikat A memperuntukkan cuti 10 hari setahun untuk tempoh perkhidmatan di bawah 5 tahun bagi pekerja bukan eksekutif manakala pekerja eksekutif diberikan kelayakan 27 hari setahun bagi tempoh perkhidmatan yang sama. Berdasarkan contoh ini timbul persoalan mengapa bilangan cuti tahunan untuk pekerja eksekutif melebih dua kali ganda daripada pekerja bukan eksekutif ? dan dari segi keperluan bercuti adakah seorang eksekutif lebih memerlukan berbanding pekerja bukan eksekutif ? Maka untuk menambah baik dan lebih adil cadangan pindaan bilangan cuti tahunan berbayar ini adalah relevan. Selain itu kebanyakan pekerja bukan eksekutif ini berasal dari luar bandar dan ada juga dari kawasan pedalaman.

Seperti yang kita maklum perjalanan pergi ke kawasan-kawasan ini mengambil masa sehari begitu juga dengan perjalanan pulang. Jika seorang pekerja bukan eksekutif mengalami kesusahan di kampung sudah tentu mengambil masa tiga hari termasuk masa perjalanan dan urusan yang tidak melibatkan kematian. Ini tidak termasuk bagi mereka yang telah berkeluarga yang sangat memerlukan cuti bukan untuk rehat semata-mata tetapi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa menguruskan persekolahan dan kesihatan anak-anak. Perkara seperti ini harus dipandang serius kerana adakalanya seorang ibu atau bapa yang telah menghabiskan cuti untuk menguruskan keluarga terpaksa mengambil cuti tanpa gaji disamping. Ini menambahkan beban kepada meraka kerana kadar gaji pekerja bukan eksekutif tidaklah setinggi pekerja eksekutif. Maka cadangan ini sangat wajar dipertimbangkan.

Cadangan pindaan yang terakhir pula ialah mewujudkan kategori-kategori penuntut yang tidak layak membuat representasi untuk pemulihan kerja dalam Akta Perhubungan Perusahaan 1967, antara kategori-kategori itu ialah;

a)          Pekerja dalam tempoh percubaan
b)         Pekerja kontrak yang bertempoh tetap
c)          Pekerja yang diberhentikan akibat penutupan penuh syarikat

Sebab-sebab kategori ini harus diwujudkan adalah kerana kebanyakan kes yang ditamatkan perkhidmatan adalah disebabkan pelanggaran kod tatatertib atau pelanggaran kontrak perkhidmatan. Sebagai contoh pekerja dalam tempoh percubaan, biasanya ditamatkan perkhidmatan kerana tidak menunjukkan prestasi yang baik sepanjang tempoh percubaannya. Adalah menjadi beban bagi syarikat untuk melantik pekerja ini ke jawatan tetap berdasarkan prestasi yang kurang memuaskan. Bagi pekerja kontrak bertempoh tetap pula, pada kebiasaanya ditamatkan kontrak kerana masalah disiplin seperti datang lewat dan ponteng kerja. Ini adalah kerana pekerja kontrak tidak termasuk dalam keistimewaan perjanjian kolektif, maka mereka merasakan tidak terikat dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan.

Bagi kategori yang terakhir pula, pekerja yang diberhentikan disebabkan penutupan penuh syarikat yang mana adalah tidak relevan untuk menuntut pemulihan semula jawatan sedangkan syarikat itu ditutup sepenuhnya. Penutupan sebuah syarikat biasanya adalah disebabkan tidak mampu lagi untuk beroperasi dari segi kewangan. Oleh itu pihak syarikat terpaksa memberhentikan pekerja-pekerjanya dengan pampasan yang telah dipersetujui. Sebagai resolusi untuk ketiga-tiga kategori ini, adalah dicadangkan agar mereka menyelesaikan pertikaian melalui perunding atau pendamai swasta. Pilihan ini adalah lebih jimat dan tidak mengambil masa yang lama berbanding representasi di mahkamah.

Kesimpulan


Secara keseluruhnya, prinsip keadilan asasi harus diamalkan oleh majikan dalam melaksanakan siasatan dalaman terhadap pekerja yang dituduh untuk mencapai kesaksamaan dan keadilan. Pematuhan terhadap prinsip keadilan boleh mengelakkan kes-kes siasatan dalaman boleh dirujuk semula ke mahkamah untuk semakan semula keputusan yang diambil. Walaupun prinsip keadilan ini terlalu tegar dan adakalanya menyebabkan ketidakadilan kepada majikan semasa melaksanakannya, ianya masih berbaloi untuk diteruskan kerana mahkamah akan mengambil kira semua usaha pihak majikan dalam pemamatuhan syarat prinsip keadilan asasi. Bagi cadangan-cadangan pindaan yang telah disebutkan di atas ianya wajar dipertimbangkan dan di perhalusi lagi kerana cadangan-cadangan tersebut adalah adil kepada pihak majikan mahupun pekerja dari segi kebajikan dan keharmonian perusahaan. Selain itu ianya juga bersesuaian dengan arus perubahan sosio ekonomi dan institusi kekeluargaan dalam Malaysia.



[1]  Vionet v. Barret (1855,55LLJ QB,39, Page 45)
[2] (1962) AC 322; (1962) 2 WLR 11 53; MLJ 169 hlm.171
[3] (1867) 1 AC 13
[4] (1949) Ail E.R. 109 him. 11 8
[5] (1980) A.C.48
[6] (1965) 1 Q.B. 456
[7] (1918)  A.C. 179
[8] (1975) 1 MLJ 1.
[9] (1863) L.T (N.S) 423 hlm. 424

Wednesday 13 September 2017

Perbezaan Undang-Undang Awam dan Undang-Undang Persendirian

Pengenalan

Undang-undang ialah suatu kumpulan peraturan ataupun ketetapan yang digubal dan telah oleh semua oleh kerajaan. Undang-undang ini haruslah adil, bersesuaian dan boleh diterima pakai secara umumnya oleh semua lapisan masyarakat. Tujuan undang-undang ini diwujudkan ialah untuk mentadbir sesebuah masyarakat di mana ianya haruslah dipraktikkan dan dipatuhi tanpa mengira pangkat. Kegagalan untuk mematuhi undang-undang akan menyebabkan tindakan berbentuk hukuman dilaksanakan ke atas pesalah undang-undang. Bagi peraturan yang bersifat norma-norma ataupun amalan sesuatu budaya, ianya tidak dianggap sebagai undang-undang yang perlu dikuatkuasakan. Sebarang pelanggaran atau salah laku ke atasnya tidak dikenakan hukuman atau denda sebaliknya dipandang serong atau cemuhan oleh masyarakat sekeliling.

Undang-undang terbahagi kepada dua jenis iaitu undang-undang awam dan undang-undang persendirian. Undang-undang awam diwujudkan untuk mentadbir sesebuah negara dan mengawal perhubungan antara individu dengan negara manakala undang-undang persendirian diwujudkan supaya hak kepentingan di antara individu dan masyarakat mempunyai jaminan dan garis panduan. Secara amnya undang-undang awam ini melibatkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat. Terdapat tiga kategori dalam undang-undang awam iaitu undang-undang perlembagaan, undang-undang pentadbiran dan undang-undang jenayah.

Undang-undang perlembagaan terbahagi kepada tiga badan berkuasa dalam sistem pemerintahan kerajaan iaitu Badan Perundangan, Badan Pemerintah dan Badan Kehakiman. Tiga bahagian badan berkuasa ini perlu wujud kerana ianya adalah salah satu syarat bagi kerajaan yang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen. Tujuan undang-undang perlembagaan ini diwujudkan adalah bagi memastikan hak-hak rakyat terlindung dan begitu juga kepada pemimpin agar tidak menyalahgunakan kuasa. Selain itu undang-undang ini dapat menjamin kestabilan sosial, ekonomi, politik dan negara.

Undang-Undang Pentadbiran secara dasarnya berhubung kait dengan pentadbiran dan pelaksanaan kuasa eksekutif dalam pentadbiran negara. Ianya diwujudkan bagi memastikan ketelusan serta tanggungjawab yang patut diamalkan didalam proses pentadbiran sesebuah negara. Antara fungsi undang-undang pentadbiran ialah orang awam dilindungi di bawah udang-undang ini di mana orang awam boleh membuat tuntutan ganti rugi bagi kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana pegawai atau pihak berkuasa.

Undang-undang jenayah pula diwujudkan bagi mengawal masyarakat daripada melakukan kesalahan-kesalahan jenayah. Ianya bertujuan untuk melindungi sesama individu mahupun kerajaan. Sekiranya pelaku jenayah didapati bersalah di mahkamah, pelaku akan menerima hukuman yang telah diperuntukkan mengikut kesalahan-kesalahan yang dilakukan. Antara hukuman yang diperuntukkan ialah hukuman penjara untuk sesuatu tempoh, denda, sebatan dan hukuman gantung sampai mati. Dengan adanya undang-undang ini  masyarakat di sesebuah negara dapat hidup dengan rasa selamat dan terjamin.


Di bawah undang-undang persendirian juga terdapat beberapa kategori antaranya ialah undang-undang kontrak, tort, undang-undang perbankan, undang-undang keluarga, undang-undang wasiat, undang-undang harta benda dan sebagainya. Fungsi undang-undang yang diwujudkan di bawah undang-undang persendirian ini adalah untuk melindungi hak-hak di antara individu dimana pihak yang teraniaya dapat pampasan sekiranya terdapat pelanggaran syarat yang telah ditetapkan dan dipersetujui bersama. Sebagai contoh di bawah undang-undang kontrak jika salah satu pihak tidak mematuhi atau melanggar syarat-syarat perjanjian yang telah dipersetujui maka pihak yang ingkar akan membayar pampasan atau dilucutkan dari kontrak.

Perbezaan Undang-Undang Awam dan Undang-Undang Persendirian.

Berdasarkan huraian antara undang-undang awam dan undang-undang persendirian kita dapat melihat terdapat perbezaan yang sangat ketara kita dapat lihat. Secara dasarnya undang-undang awam melibatkan hubungan di antara kerajaan dengan rakyat di mana ianya melibatkan kepentingan dan keselamatan awam. Sebagai contoh kesalahan jenayah adalah suatu kesalahan yang serius seperti melakukan rompakan, membunuh dan mengedar dadah. Kesalahan-kesalahan seperti ini akan didakwa oleh peguam persekutuan dan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan. Jika didapati bersalah hukuman akan dijatuhkan dengan peruntukan hukuman sedia ada. Sebagai contoh seseorang yang ditangkap oleh polis kerana mengedar dadah akan didakwa oleh pendakwa atau peguam persekutuan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 Seksyen 39B bahawa tiada orang atau mana-mana pihak didalam Malaysia dibenarkan mengedar, menawarkan atau memiliki dadah merbahaya. Jika tertuduh didapati bersalah maka hukuman yang diperuntukkan ialah mati mandatori.

Manakala undang-undang persendirian pula melibatkan hubungan di antara rakyat dengan rakyat di mana ianya melibatkan kepentingan individu. Dalam kes kesalahan sivil tidaklah melibatkan kesalahan yang serius seperti kesalahan jenayah. Kesalahan sivil ini biasanya melibatkan tuntutan ganti rugi yang dibawa ke mahkamah diwakili oleh peguam plaintif iaitu pihak yang mendakwa manakala pihak yang didakwa pula dipanggil sebagai defendan juga diwakili oleh peguam masing-masing. Sebagai contoh sewa rumah yang tertunggak selama setahun. Jika tuan rumah ada menyediakan perjanjian sewa antara penyewa dan tuan rumah yang sah dari segi undang-undang, tuan rumah boleh membuat tuntutan melalui mahkamah ke atas penyewa tersebut dibawah undang-undang kontrak, Akta Kontrak 1950 Seksyen 2H bahawa suatu perjanjian yang boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang ditafsirkan sebagai kontrak. Namun dalam kes-kes sebegini adalah digalakkan penyelesaian dibuat di luar mahkamah.

Walaupun fungsi dan peranan undang-undang awam dengan undang-undang persendirian berbeza dan tidak mempunyai hubungkait, terdapat juga kes-kes yang akan melibatkan kedua-dua undang-undang ini. Sebagai sebuah bas express yang membawa penumpang terlibat dengan kemalangan jalanraya hingga melibatkan kecederaan parah dan kehilangan nyawa. Setelah siasatan dijalankan didapati pemandu memandu bas itu melebihi had laju yang dibenarkan serta cuai. Pemandu itu boleh didakwa dibawah Akta Pengangkutan jalan Raya 1987 seksyen 41(1). Dibawah seksyen ini adalah dinyatakan bahawa individu yang memandu suatu kenderaan motor di jalan secara melulu atau laju, setelah mengambil kira semua keadaan termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan, dan kesesakan lalu lintas yang dijangkakan yang ada atau mungkin ada di jalan itu merbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian mana-mana orang. Jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun atau tidak lebih daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada lima ribu ringgit dan tidak lebih daripada dua puluh ribu ringgit.

Disamping itu, dibawah undang-undang tort kategori kecuaian, mangsa atau waris daripada kemalangan bas itu boleh membuat tuntutan rugi dan pampasan ke atas pemandu bas dan syarikat bas express berkenaan. Dalam kes ini kita dapat lihat dengan jelas di mana pemandu bas itu bukan sahaja didakwa oleh mahkamah kerana kecuaian hingga menyebabkan kematian tetapi juga dibicarakan di mahkamah kerana kes tuntutan kerugian oleh mangsa kemalangan bas itu.

Dua Jenis Undang-Undang Awam

Undang-undang awam seperti yang dinyatakan dalam pengenalan diatas terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu undang-undang jenayah, undang-undang perlembagaan dan undang-undang pentadbiran. Di sini saya akan membincangkan lagi lebih lanjut tentang undang-undang jenayah dan undang-undang perlembagaan. Seperti yang kita maklum tujuan undang-undang jenayah diwujudkan bagi mengawal, mengatur dan membendung kezaliman dalam kehidupan masyarakat. Dengan adanya undang-undang ini pelaku-pelaku jenayah dapat di hukum mengikut jenis-jenis kesalahan jenayah yang telah dilakukan seperti mencuri, membunuh, merogol dan mencederakan orang lain.

Antara hukuman yang diperuntukan ialah hukuman penjara, sebatan dan hukuman gantung sampai mati. Namun sebelum hukuman ini dijatuhkan, pihak pendakwa iaitu peguam persekutuan bukti jenayah yang kukuh sebelum dihadapkan ke mahkamah. Di Malaysia sumber undang-undang jenayah ialah Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah. Kanun Keseksaan ialah salah satu aspek utama dalam pentadbiran undang-undang jenayah di mana ia juga dikenali sebagai undang-undang substantif. Manakala Kanun Tatacara Jenayah pula dikenali sebagai undang-undang prosidur di mana Kanun Tatacara Jenayah ini mempunyai prosidur penangkapan, pencarian, penyiasatan dan perbicaraan.

Sebagai contoh walaupun suspek ditahan oleh pihak polis, individu tersebut mempunyai hak-hak tersendiri. Antaranya ialah semasa penahanan atau tangkapan dibuat pihak perlu memberitahu dengan segera sebab-sebab dia ditangkap dan dibenarkan untuk berunding dan dibela oleh pengamal undang-undang yang dilantik olehnya. Prosidur ini  terdapat dalam (Perkara 5 Fasal (3) Perlembagaan Persekutuan). Selepas itu, jika seorang suspek ditahan dalam tempoh melebihi 24 jam, individu tersebut perlu dihadapkan ke seorang Majistret untuk ditahan lebih lanjut dibawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah. Lazimnya di Malaysia prosidur penahanan adalah berdasarkan Akta Polis 1967, Kanun Acara Jenayah dan peraturan lokap.

Di Malaysia Undang-Undang Perlembagaan dianggap sebagai undang-undang tertinggi. Ianya merupakan merupakan undang-undang yang mengandungi peraturan dan prinsip-prinsip asas kepada pembentukan kerajaan dan juga panduan kepada kerajaan untuk melaksanakan kuasa dan mentadbir negara. Perlembagaan boleh diklasifikasikan kepada dua iaitu perlembagaan bertulis dan perlembagaan tidak bertulis.
Perlembagaan bertulis ialah sumber undang-undang utama di Malaysia. Dalam perlembagaan bertulis mengandungi Perlembagaan Persekutuan,Perlembagaan Negeri,undang-undang yang digubal oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dan perundangan kecil yang diperbuat oleh badan-badan yang diberi kuasa oleh Akta Parlimen dan Ordinan atau Enakmen Dewan Undangan Negeri. Fungsi utama perlembagaan diwujudkan adalah untuk memberikan jaminan dan perlindungan kepada rakyat. Dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia terdapat 15 Bahagian,183 Perkara dan 13 Jadual yang merangkumi pelbagai aspek pemerintahan seperti kebebasan asasi, kuasa dan kedudukan Yang Dipertuan Agong, keistimewaan Raja-raja Melayu dan hak orang Melayu, soal bahasa Melayu, agama, kewarganegaraan, kehakiman dan sebagainya.

Sebagai contoh, Perkara 32, Ketua Utama Negara bagi persekutuan dan isterinya. Dalam perkara ini menyatakan bahawa Ketua Utama Negara yang digelar Yang Di Pertuan Agong hendaklah diutamakan lebih dari mana-mana orang dalam persekutuan. Ketua Utama Negara juga tidak boleh dikenakan apa-apa prosiding di mana-mana mahkamah dalam Malaysia kecuali Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah bahagian XV. Dalam perkara ini juga menyatakan bahawa Raja Permaisuri Agong hendaklah diutamakan daripada mana-mana orang selepas Yang Di Pertuan Agong. Selain itu, dalam perkara ini juga menyebut bahawa Yang Dipertuan Agong hendaklah dipilih melalui Majlis Raja-Raja dalam tempoh 5 tahun sekali. Dalam Perkara 153 pula menyatakan bahawa Yang Di Pertuan Agong bertanggungjawab dalam menjaga kedudukan istimewa orang Melayu, bumiputera dan kaum-kaum yang sah di mana-mana dalam negeri Sabah dan Sarawak.

Perlembagaan tidak bertulis pula terdiri daripada prinsip-prinsip perlembagaan yang tidak direkodkan atau dicatat secara khusus dalam apa-apa dokumen. Ianya tidak digubal oleh mana-mana badan perundangan, parlimen mahupun dewan undangan negeri di Malaysia. Sebaliknya undang-undang ini meliputi budaya dan adat negeri masing-masing. Antara jenis – jenis undang-undang tidak bertulis ini ialah, undang-undang adat, undang-undang islam dan undang-undang lazim (common law). Undang-undang ini dianggap sebagai sumber kedua di dalam Malaysia mengikut negeri masing-masing. Sebagai contoh masyarakat Islam di Malaysia adalah tertakluk dengan undang-undang Islam di mana ada perkara-perkara yang dilarang dalam ajaran agama Islam. Sumber undang-undang Islam ialah Al Quran, hadis dan Sunnah ianya juga dikendalikan oleh Majlis Agama Islam. Fungsi undang-undang Islam dalam negara ini ialah mengeluarkan fatwa, mengendalikan wakaf dan memberikan nasihat kepada masyarakat yang beragama Islam.

Undang-undang adat pula adalah berasakan amalan mengikut suku kaum masing-masing. Sebagai contoh di negeri Sabah dan Sarawak mengamalkan adat-adat bumiputera di mana dianggap sebagai ordinan undang-undang adat bumiputera. Dalam ordinan undang-undang adat bumiputera merangkumi pengurusan warisan harta, pemilikan tanah, hukuman mengikut kesalahan, perkahwinan dan perceraian. Sebagai contoh pemilikan tanah di Sabah hanya boleh dimiliki oleh anak jati negeri Sabah, perkahwinan yang mengikut adat suku kaum Kadazan Dusun haruslah mempunyai surat perjanjian yang disahkan oleh Ketua Kampung dimana sebarang pelanggaran perjanjian akan dikenakan denda berbentuk seekor kerbau atau lain-lain.

Peranan Undang-Undang Awam dalam Keadilan

Secara umumnya salah satu faktor utama undang-undang diwujudkan adalah untuk mengawal dan membanteras kelakuan masyarakat daripada melakukan kesalahan. Setiap jenis undang-undang itu memainkan peranannya masing-masing dalam aktiviti seharian kita. Sebagai contoh dalam undang-undang jenayah kesalahan mencuri, suspek akan ditangkap atau ditahan bagi membantu siasatan. Walaubagaimanapun setiap penahanan yang di buat haruslah mengikut prosidur-prosidur yang telah ditetapkan di dalam Akta Polis 1967, Kanun Acara Jenayah dan Peraturan lokap dan bukannya secara membuta tuli. Dengan adanya akta ini bukan sahaja dapat membantu pihak polis untuk menguatkuasakan undang-undang tetapi juga membantu penjenayah ditahan dan disiasat dengan adil. Dalam kata lain penjenayah ini tidaklah rasa ditindas dan berasa tidak adil ke atas dirinya.

Setelah bukti di kumpul dan dapat dihubungkaitkan dengan suspek itu seterusnya akan dibawa ke mahkamah untuk didakwa. Tertuduh akan diberi peluang untuk membuat pengakuan supaya mengaku bersalah dan sebagai balasan hukuman yang lebih ringan akan dijatuhkan ke atasnya. Runding aku ini akan di buat di dalam kamar hakim bersama-sama dengan pendakwa raya dan sebarang keputusan yang dicapai akan dijadikan sebagai asas untuk menjatuhkan hukuman oleh hakim dalam perbicaraan nanti. Di sini kita dapat melihat bagaimana tertuduh diberi peluang dan dilayan dengan adil mengikut sistem undang-undang jenayah. Sewaktu perbicaraan di mahkamah, pendakwa raya akan mengemukakan bukti dan saksi-saksi bagi menyokong pendakwaan dan didengari serta diteliti oleh hakim sebelum menjatuhkan hukuman.

Sekiranya tertuduh didapati bersalah, maka hukuman akan dijatuhkan ke atasnya mengikut Kanun Keseksaan. Jika tertuduh berasa tidak puas hati dengan hukuman yang dikenakan, tertuduh boleh membuat rayuan di mahkamah yang lebih tinggi. Begitu juga dengan pendakwa raya sekiranya tertuduh didapati tidak bersalah pendakwa raya tersebut boleh membuat rayuan di mahkamah yang lebih tinggi.

Apabila tertuduh yang dijatuhkan hukuman penjara oleh hakim untuk tempoh yang diperintahkan, dia dikenali sebagai banduan dan semasa dalam penjara dia tidak boleh dibebaskan sehinggalah tamat hukuman. Sepanjang tempoh penahanan dia akan tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang di dalam penjara. Dalam tempoh tersebut dia haruslah mengikuti semua program pemulihan yang dilaksanakan ke atasnya. Pemulihan bertujuan untuk memastikan banduan yang dibebaskan dari penjara akan dapat berdikari dan tidak mengulangi semula kesalahan jenayah. Di sini jelas di mana kesalahan jenayah yang dilakukan akan ditangani dan ditadbir dengan adil dan saksama kepada setiap pesalah laku jenayah. Bagi masyarakat umum pula akan berasa yakin dan terjamin dengan pelaksanaan undang-undang yang telah ditetapkan.

Untuk contoh yang lebih ringkas lagi ialah kesalahan trafik, kesalahan trafik ini adalah kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Pengangkutan 1987. Di bawah akta ini kesalahan dikategorikan kepada tiga jenis iaitu kesalahan boleh di kompaun, saman tidak boleh di kompaun dan kesalahan yang boleh ditangkap. Denda minimum di bawah akta ini ialah RM300 dan boleh mencapai hingga RM10,000 mengikut kesalahan yang dilakukan. Sebagai contoh kesalahan trafik ialah tiada cukai jalan dan insurans yang tamat tempoh, saman akan dikeluarkan ke atas pesalah trafik. Pembayaran kompaun boleh dibayar sebelum tarikh luput yang ditetapkan seperti yang dinyatakan didalam saman Polis 257 pin.4/95 dari tarikh saman dikeluarkan. Jika saman ini gagal dibayar pesalah laku trafik tersebut dikehendaki hadir ke mahkamah untuk dibicarakan. Di sini juga jelas kita lihat adalah penting untuk kita mengikut peraturan Jalanraya yang telah ditetapkan seperti kesalahan di atas tadi jika kenderaan kita mempunyai cukai jalan dan insurans kenderaan terlibat dengan kemalangan akan mengakibatkan kerugian terhadap diri sendiri.

Secara keseluruhannya, undang-undang yang digubal adalah bersesuaian dengan mengikut peredaran semasa dan sesuai digunakan dalam aktiviti kehidupan seharian masyarakat. Jika semua orang dapat mengaplikasikan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan, ianya bukan sahaja dapat melindungi diri sendiri tetapi juga mendisiplinkan cara hidup kita agar lebih teratur dan terjamin. Di samping itu ianya dapat juga membantu mengurangkan kadar jenayah di dalam negara serta menstabilkan ekonomi negara. Ini adalah kerana kadar jenayah yang sangat tinggi akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi. Sebagai contoh, jika kes peragut berleluasa di pusat membeli belah dan sekitar bandar raya akan menyebabkan jumlah pengunjung berkurangan. Kesan daripada ini, aktiviti perniagaan di pusat membeli belah akan terjejas dan merudum.

Kesimpulan


Kesimpulannya, Setiap undang-undang yang diwujudkan berperanan penting dalam pelaksanaannya terhadap kepada masyarakat dan negara. Kita sebagai rakyat negara ini adalah tertakluk di bawah Undang-Undang Perlembagaan Malaysia dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menghormati dan mematuhinya. Ianya bukan sahaja adil tetapi juga melindungi hak-hak individu di dalam negara ini. Dengan adanya undang-undang ini semua orang akan menikmati keadilan dan kesaksamaannya jika mencapai tahap keseimbangan bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga kepada negara dan semua lapisan masyarakat.

Sistem Operasi Telefon Mudah Alih