Friday 28 June 2019

Sistem Operasi Telefon Mudah Alih

Pada hari ini telefon mudah alih atau lebih dikenali sebagai telefon pintar merupakan salah satu keperluan dalam kehidupan harian manusia. Telefon pintar telah banyak mengambil alih peranan komputer seperti e-mail, persidangan video,internet, menaip surat, laporan dan platform komunikasi. Berikut adalah laporan analisa ke atas empat jenis sistem pengoperasian telefon pintar yang mendapat penilaian tertinggi di pasaran iaitu IOS, Android, Microsoft dan Blackberry OS.

Sistem operasi telefon pintar yang lebih dikenali dengan panggilan Operating System (OS) adalah perisian yang membenarkan telefon mudah alih mengendalikan semua aplikasi dan program dalam sesebuah telefon mudah alih. Sistem operasi juga menjadi asas untuk semua penetapan tetapan telefon mudah alih seperti penyambungan ke rangkaian internet, format teks, sistem kedudukan global dan penetapan  kalendar.

Untuk lebih jelas sistem operasi mudah alih adalah berbeza mengikut jenama telefon mudah alih. Antaranya Apple yang mempunyai sistem operasi sendiri iaitu iOS, iOS mengendalikan peranti iPod, iPad, iPhone dan Apple Watch. Ia hanya boleh didapati di produk Apple dan bertindak balas kepada arahan dari hujung jari pengguna. iOS menampilkan iTunes untuk muzik dan App Store untuk pelbagai aplikasi yang terdapat dipasaran. Salah satu faedah sistem operasi Apple adalah berbual dalam video dan keupayaan Apple Music. Sistem operasi Android pula dimiliki oleh Google dan dianggap sumber terbuka berbanding sistem tertutup Apple. Dengan sistem sumber terbuka, pemaju perisian boleh membina aplikasi dan program sehingga pengguna berpuas hati dan mendapat manafaat yang banyak dari perisisan yang percuma.Kebanyakan pengguna Android memetik keterbukaan sistem operasi yang membawa kepada lebih banyak pilihan peribadi sebagai sebab untuk setia terhadap Android.

Microsoft tidak asing lagi dengan sistem pengoperasian komputer tetapi merupakan pendatang baru untuk sistem operasi mudah alih. Versi mereka yang terkini ialah susun atur berjubin yang mana terdapat pada OS komputer terkini. Jubin ini boleh disusun semula dan dipindahkan mengikut pilihan pengguna. Sistem operasi BlackBerry kurang dikenali tetapi masih digunakan dan direka khas untuk peranti BlackBerry yang biasa digunakan di kalangan pengguna perniagaan. Sistem operasi BlackBerry sangat digemari kerana ciri-ciri

keselamatan yang dipertingkatkan. Ini merupakan telefon pilihan untuk bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama. BlackBerry jauh lebih berjaya dengan sistem operasi yang memerlukan trackball (seperti tetikus komputer) dan papan kekunci fizikal daripada peranti skrin sentuh seperti iphone.

SISTEM OPERASI TELEFON MUDAH ALIH iOS

iOS adalah sistem pengoperasian yang mengendalikan iPhone, iPod touch, dan iPad. Ia adalah perisian teras yang dimuatkan pada semua peranti untuk membolehkan mereka menjalankan dan menyokong aplikasi lain. Semasa Steve Jobs memperkenalkan iPhone kepada umum pada januari 2007, beliau menyatakan telefon pintar pada masa itu ialah bayi kepada perisian dengan merujuk WAP ialah sebagai bayi internet. WAP ialah Protokol aplikasi tanpa wayar merupakan protokol komunikasi yang digunakan untuk mengakses data tanpa wayar melalui kebanyakan rangkaian tanpa wayar mudah alih. WAP meningkatkan spesifikasi interoperabiliti tanpa wayar dan memudahkan sambungan segera antara peranti tanpa wayar interaktif seperti telefon bimbit dan internet.

Apple iOS direka berdasarkan sistem operasi Mac OS X yang dibuat untuk komputer desktop dan komputer riba. Kit pembangunan iOS menyediakan alat yang membolehkan pembangunan aplikasi iOS. Ianya direka untuk digunakan ke atas semua peranti pelbagai sentuh  Apple. Sistem operasi mudah alih (iOS) menyokong input melalui manipulasi secara langsung. Sistem ini bertindak balas kepada pelbagai gerakan isyarat pengguna seperti mencubit, menoreh dan meleret. iPhone OS 1 memperkenalkan banyak konsep yang kita kenal pada hari ini, antaranya meleretkan jari pada skrin sesentuh untuk membuka kunci telefon, gerakan jari mencubit untuk zum pada skrin dan pemberitahuan lencana.
Berikut adalah ciri-ciri Apple iOS :
  • Wi-Fi, sambungan Bluetooth dan selular, bersama-sama dengan sokongan VPN.
  • Sokongan carian bersepadu, yang membolehkan carian serentak melalui fail, media, aplikasi dan e-mel.
  • Sokongan pengiktirafan isyarat menyokong - sebagai contoh, menggegarkan peranti untuk membatalkan tindakan yang terakhir.
  • E-Mel untuk menghantar dan menerima e-mel peribadi.
  • Pelayar mudah alih Safari untuk melayari rangkaian internet.

  • Kamera pada bahagian hadapan dan belakang yang bersepadu dengan keupayaan video.
  • Untuk hiburan akses langsung ke Apple App Store dan katalog iTunes muzik, podcast, rancangan televisyen dan filem yang tersedia untuk disewa atau dibeli.
  • Keserasian dengan perkhidmatan awan Apple iCloud untuk simpanan fail peribadi.
  • Pembantu peribadi Siri untuk membuat pelbagai carian seperti restoran terdekat, translasi bahasa dan membuat panggilan telefon dengan menggunakan arahan suara.
  • Komunikasi antara platform antara peranti Apple melalui AirDrop.
  • Notes untuk menulis sebarang nota.
  • Apple Pay berfungsi sebagai menyimpan data kad kredit pengguna dan membolehkan mereka membayar barangan dan perkhidmatan terus dengan peranti iOS.
  • GPS untuk navigasi satelit serantau.

Pada hari ini iphone menggunakan sistem operasinya yang terkini iaitu iOS 12, beberapa ciri utama dalam iOS 12 termasuk peningkatan Siri seperti Siri Pintasan, Reality Augmented iaitu realiti yang mana pengalaman interektif dunia nyata ditingkatkan dengan ARKit 2 dan memberikan pengguna dan ibu bapa cara untuk memantau dan mengawal penggunaan peranti mereka dengan Waktu Skrin. Model telefon mudah alih iphone yang mampu menyokong sistem operasi iOS 12 ini bermula daripada model iPhone 5s sehingga ke iPhone X.

SISTEM OPERASI TELEFON MUDAH ALIH ANDROID

Sistem Pengendalian Android adalah OS berasaskan Linux yang dibangunkan oleh Open Handset Alliance (OHA). Pengenalan sistem operasi Android telah mengatasi Symbian pada suku keempat tahun 2010, yang kemudian mendapat tempat pertama dalam carta di kalangan sistem operasi telefon pintar. Pada asalnya sistem operasi Android telah dicipta oleh Android Inc. yang kemudiannya dibeli oleh Google pada tahun 2005. Dengan kerjasama syarikat lain Google membentuk Open Handset Alliance (OHA) yang diberi tanggungjawab untuk meneruskan perkembangan sistem operasi Android.
Setiap kali OHA memperkenalkan versi Android, mereka menamakan kod versi sistem operasi itu sempena menu pencuci mulut. Sebagai contoh Android 1.5 dikenali sebagai Cupcake, kemudian Android 1.6 sebagai Donut, Android 2.0 / 2.1 sebagai Eclair, Android 2.2 sebagai Froyo dan Android 2.3 yang digelar Gingerbread. Android yang terkini diperkenalkan pada 7 Ogos 2018 iaitu Android 9 Pie yang mana mempunyai beberapa ciri baru yang direka untuk membantu memanjangkan hayat bateri telefon pintar, termasuk penggunaan pembelajaran mesin dalam peranti untuk meramalkan aplikasi mana yang akan digunakan sekarang, dan aplikasi mana yang tidak akan digunakan sehingga perlu digunakan kemudian. Pie juga mempunyai Shush ciri yang secara automatik meletakkan telefon anda dalam mod “Jangan Ganggu” apabila anda menghidupkan skrin telefon anda pada permukaan yang rata. Terdapat juga Slice yang menyediakan versi aplikasi yang lebih kecil di dalam Carian Google, menawarkan fungsi aplikasi tertentu tanpa membuka aplikasi sepenuhnya.
Sistem pengoperasian asas Kernel Android adalah berdasarkan sistem Linux tetapi telah diubahsuai untuk mengikut arahan Google. Ianya tidak mempunyai sokongan untuk perpustakaan GNU dan ia tidak mempunyai sistem X Windows asli. Di atas kennel Linux terdapat satu set perpustakaan termasuk pelayar rangkaian sumber terbuka seperti webkit dan library libc. Perpustakaan ini digunakan untuk bermain dan merakam audio dan video. SQLite adalah pangkalan data yang berguna untuk penyimpanan dan perkongsian data aplikasi. Perpustakaan SSL bertanggungjawab untuk keselamatan internet dan sebagainya.Di dalam kernel Linux juga terdapat pemandu untuk paparan, kamera, memori flash, papan kekunci, WiFi dan audio. Kernel Linux berfungsi sebagai abstraksi antara perkakasan dan perisian lain pada telefon pintar. Selain itu ia juga menguruskan perkhidmatan sistem teras seperti keselamatan, pengurusan memori, pengurusan proses dan susunan rangkaian.
 Antara ciri –ciri sistem operasi Android termasuklah:
  • Pelayar bersepadu, berdasarkan enjin WebKit sumber terbuka
  • Grafik 2D dan 3D yang dioptimumkan, penyambungan multimedia dan GSM
  • SQLite
  • Kamera
  • GPS
  • Kompas
  • Akselerometer
  • Stor Penyimpanan
  • Kesambungan: GSM / EDGE, IDEN, CDMA, Bluetooth, WI-FI, EDGE, 3G, NFC, LTE, GPS.
  • Pesanan: SMS, MMS, C2DM (untuk mesej antara peranti), GCM (Google boleh menghantar mesej)
  •  Sokongan bahasa
  • Panggilan video
  •  Tangkapan skrin
  • Sokongan media streaming  

SISTEM OPERASI MUDAH ALIH MICROSOFT

Sistem operasi mudah alih yang dibuat oleh Microsoft dinamakan Windows Mobile. Selepas perubahan yang diperkenalkan oleh Apple (iOS) dan Google (Android) pada tahun 2007, Microsoft memutuskan untuk mengambil arah baru dan mewujudkan Windows Phone. Sama seperti alternatif lain, seperti iOS dan Android, Windows Phone adalah sistem operasi untuk telefon pintar. Ia biasanya digunakan pada peranti skrin sentuh, dan menawarkan fungsi seperti rangkaian, sensor dan integrasi kamera. Windows Phone menggunakan antara muka pengguna yang dihasilkan oleh Metro (UI) yang mencerminkan dan bergantung pada antara muka (interface) seperti jubin yang diperkenalkan dengan sistem desktop. Skrin utama telefon menyerupai menu permulaan desktop. Untuk mencari dan memuat turun aplikasi, muzik, video dan podcast, pengguna boleh pergi ke Windows Phone Marketplace.
Pada tahun 1996 Windows CE telah dilancarkan oleh Bill Gates dan menjadikan asas kepada sistem operasi mudah alih Microsoft di masa hadapan. Model peranti mudah alih yang digunakan pada waktu itu ialah HP 320 LX daripada Hewlett Packard yang dirujuk sebagai PC Handheld iaitu PC kecil, mudah alih dan menyerupai komputer riba kecil berbanding peranti mudah alih yang kita gunakan sekarang.  Pada hari ini Windows menampilkan sistem operasi yang terkini iaitu Windows 10 yang mana ia menyediakan Platform Windows Universal (UWP) baru yang membenarkan aplikasi dibina dan dijalankan menerusi semua peranti Windows 10, sama ada desktop, mudah alih, atau konsol. Penyelarasan antara peranti juga diperbaiki sebagai contoh, pemberitahuan yang diberhentikan pada desktop akan dimansuhkan secara automatik di telefon bimbit juga.
Antara ciri-ciri sistem operasi mudah alih Windows ialah:
  • Cortana, pembantu maya yang berasal dari permainan video Halo, rakan sejawatan Microsoft kepada Siri Apple.
  • Integrasi dengan Microsoft Exchange, SharePoint, Skype untuk Perniagaan dan Office 365 untuk persekitaran perusahaan.
  • Rantai Mesej.
  • Outlook Mobile untuk akses e-mel yang menyokong pelbagai perkhidmatan e-mel.
  • Internet Explorer (IE).
  • The Hub, ciri-ciri yang menyelaraskan kandungan peribadi dan atas talian. Sebagai contoh, People Hub untuk penghubungan media sosial dan saling berhubungan dengan Hub Permainan untuk XBox Live.
  • Perisian pengiktirafan suara.
  • Enjin carian Bing.
Namun pada Oktober 2017, naib presiden korporat Microsoft  Joe Belfiore mengesahkan bahawa disebabkan oleh penguasaan pasaran yang rendah dan kekurangan pembangunan oleh pihak ketiga, Microsoft tidak akan lagi menjual atau mengeluarkan peranti Windows Mobile baru manakala peranti yang sedia ada akan menerima pembaikan pepijat dan kemaskini keselamatan sahaja.

SISTEM OPERASI MUDAH ALIH BLACKBERRY OS

BlackBerry OS adalah sistem operasi mudah alih yang direka khusus untuk peranti BlackBerry oleh Research In Motion (RIM) pada tahun 1999. BlackBerry OS boleh didapati pada telefon mudah alih varian Blackberry seperti siri BlackBerry Bold, Curve, Pearl and Storm. BlackBerry OS direka mengikut keperluan telefon pintar dan paling dikenali dengan sistem sokongan yang kukuh untuk e-mel internet Push. Fungsi e-mel push ini dilakukan melalui BlackBerry Enterprise Server (BES) yang mana mempunyai versi untuk Microsoft Exchange, Lotus Domino dan Novell Groupwise. Berbeza dengan sistem operasi mudah alih yang lain seperti Android, Microsoft Windows Mobile dan Symbian boleh berfungsi pada pelbagai jenama telefon mudah alih, BlackBerry OS hanya boleh beroperasi pada telefon BlackBerry sahaja sama seperti iOS Apple.
RIM melancarkan sistem operasinya yang pertama pada alat kelui dan bukannya telefon pintar. Pada masa itu sistem operasi mereka hanya menawarkan e-mel, agenda, kalendar dan akses HTML  yang terhad. Kemudian pada tahun 2000 versi kedua BlackBerry OS adalah kejayaan besar daripada versi pertama mereka yang mana sistem operasi telah dipindahkan dari alat kelui dua hala ke format PDA dan keupayaan platform telah meningkat  termasuk e-mel, pelayar rangkaian, agenda, kalendar, nota dan juga permainan. Pada tahun 2008 Blackberry memperkenalkan OS 5 yang  menawarkan aplikasi e-mel yang lebih baik, pemantau fail, pelarasan hubungan tanpa wayar, integrasi Gmail, Peta BlackBerry dan banyak lagi. BlackBerry OS 5 juga merupakan sistem operasi RIM yang pertama dengan sokongan untuk peranti skrin sentuh.
Pada 27 September 2010, BlackBerry memperkenalkan sistem operasi mudah alih baru mereka iaitu BlackBerry OS 10. Sistem operasi BlackBerry 10 ini digunakan pada model tablet  BlackBerry PlayBook dan telefon pintar BlackBerry Z10. Pada tahun 2015, RIM memperkenalkan telefon pintar model BlackBerry Priv slider dan BlackBerry DTEK50  yang dioperasikan oleh Android. Mereka memutuskan semua telefon bimbit pada masa akan datang semuanya berasaskan Android.
Antara ciri-ciri BlackBerry OS 10 adalah seperti berikut:
  • Picture Password - Tidak seperti telefon pintar jenama lain yang menggunakan cap jari untuk membuka kekunci telefon, BlackBerry OS 10 menggunakan kata kunci bergambar yang mana pengguna hanya perlu memindahkan satu digit ke kawasan tertentu pada skrin. Dalam kes ini, pelbagai digit dijana secara rawak setiap kali dan setiap kali digit yang dikehendaki dipindahkan dari tempat yang berbeza pada skrin.
  • Photo and Video Stories - Fungsi yang mencipta cerita berdasarkan media video atau gambar yang tersimpan dalam memori telefon.
  • Pengaktifan mood senyap tanpa menekan sebarang butang pada telefon, pengguna hanya perlu menterbalikan skrin telefon pada meja tanpa sebarang gerakan tambahan.
  • Blackberry Protect -Menyimpan semua mesej, nombor hubungan dan fail-fail lain ke simpanan Cloud yang hanya boleh diakses oleh pemilik.
  • Blackberry Balance - direka untuk pengguna yang menggunakan komunikator yang sama untuk tujuan kerja dan peribadi. Fungsi ini adalah untuk mencapai keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan peribadi.

CADANGAN

Berdasarkan kajian yang telah dibuat mengikut perkembangan semasa, adalah dicadangkan agar pihak syarikat mempertimbangkan untuk memilih telefon pintar yang menggunakan sistem operasi Android. Jika ingin dibandingkan dengan tiga sistem operasi yang lain, pencabar utama kepada Android ialah iOS iPhone. Ini adalah kerana sistem operasi Windows dan Blackberry tidak mempunyai daya saing dari pengemaskinian terkini. Seperti yang dinyatakan di atas, Windows telah menamatkan keluarannya pada tahun 2017 manakala Blackberry OS berakhir dengan OS 10 pada tahun 2013.
Kelebihan besar Android dari segi telefon mudah alih adalah syarikat mempunyai banyak pilihan telefon telefon pintar yang berbeza untuk dipilih antaranya Samsung, Huawei, Oppo, Vivo, Asus, Oneplus dan HTC. Ini membuatkan pihak syarikat mempunyai lebih banyak pilihan dari segi tingkat harga bermula RM 1000 hingga RM 3000 dan mempunyai varian yang pelbagai. Tidak seperti sistem operasi iOS yang hanya terhad kepada iPhone sahaja yang mana jenama ini tidak mempunyai varian yang banyak tetapi dari segi harga ianya lebih mahal daripada jenama-jenama yang lain bermula dengan harga RM 1600 hingga RM 4099.
Aplikasi e-mel di Android dan iOS sangat mudah digunakan dan cepat disediakan. Anda boleh melaraskan beberapa akaun e-mel dan melihatnya dalam peti masuk tunggal jika diinginkan. Android dan iOS juga mempunyai pelbagai aplikasi e-mel pihak ketiga yang tersedia . Walau bagaimanapun, Gmail adalah aplikasi e-mel yang lebih kuat daripada 'iOS Mail. Oleh kerana Gmail adalah sistem alamat e-mel yang paling popular di dunia adalah lebih releven untuk menggunakan aplikasi Gmail. Pengguna juga boleh menambah alamat e-mel dari pembekal yang berbeza di Gmail dengan mudah.
Untuk perkhidmatan penyimpanan awan (Cloud Storage), Apple agak ketinggalan dalam simpanan cloud dan fail sandaran secara automatik. Google Drive menawarkan 15GB secara manakala iOS cuma menawarkan 5GB dengan iCloud dan ia hanya berfungsi pada Windows, Mac dan iOS. Jika pengguna memerlukan lebih banyak ruang tambahan, Google Drive adalah yang paling murah pada iaitu USD 2.00 sebulan untuk 100GB bersamaan USD 24.00 untuk setahun. Untuk kekal kompitetif  Apple menurunkan harga dengan menawarkan USD 1.00 sebulan untuk 50GB. Kedua-duanya menawarkan 1TB untuk USD 10.00 sebulan.Simpanan Cloud Android lebih mudah digunakan dan lebih berkesan daripada iCloud. Pengguna boleh menggunakan Google Drive di iPhone, sedangkan iCloud hanya iOS sahaja.
Dari segi penawaran applikasi tambahan, Android menawarkan ribuan pilihan applikasi tambahan di dalam Play Store yang mana kebanyakannya boleh dimuat turun dengan percuma manakala bagi aplikasi yang berbayar ianya lebih murah berbanding App Store Apple. Aplikasi yang ditawarkan dalam App Store juga tidak banyak pilihan serta kebanyakan aplikasi tambahan perlu dibeli. Dengan konsep sumber terbuka  Android juga membolehkan pengguna mengakses kedai aplikasi pihak ketiga seperti App Store Amazon. Tidak cukup dengan itu Android juga membenarkan pengguna untuk memuat turun aplikasi sampingandengan memasukkan fail manual APK. Dengan ini kita boleh melihat dari segi aplikasi Android tidak membataskan penggunaan aplikasi dari pihak ketiga jika dibandingkan iOS yang mengutamakan hak pemilikan aplikasi untuk iPhone sahaja.
Untuk perbandingan kualiti paparan skrin teknologi yang paling dominan digunakan dalam pembuatan paparan skrin mudah alih pada hari ini ialah IPS LCD dan OLED dan beberapa teknologi lama seperti TFT masih digunakan dalam model spesifikasi rendah yang lebih murah. Majoriti telefon mudah alih moden samada yang murah atau yang paling mahal menggunakan LCD IPS, ini termasuk model iPhone dari varian iPhone 8, iPhone Xr, iPhones X, Xs, dan Xs Max menjadi satu-satunya iPhone yang dilengkapi OLED setakat ini. Bagi telefon Android, kebanyakan OEM memilih IPS berbanding OLED untuk majoriti peranti mereka, kecuali jenama Samsung. Kini, kedua-dua IPS LCD dan OLED mempunyai kelebihan dan kelemahan mereka sendiri. Dari segi teknikal, OLED adalah teknologi terunggul di atas tiga sebab iaitu:
  • Ia lebih jimat penggunaan kuasa bateri. Dengan paparan OLED, setiap piksel menyala secara individu, bermakna paparan tidak memerlukan lampu latar aktif untuk menerangi keseluruhan skrin apabila ia dihidupkan.
  • Ia mempunyai sudut pandangan yang lebih baik. Paparan IPS yang lebih tinggi seperti yang dilihat dalam iPhone hampir boleh memadankan OLED dalam hal ini walaupun perbezaannya yang ketara.
  • Ia mengeluarkan cahaya yang kurang. Ini amat penting untuk orang ramai yang menghabiskan banyak masa di luar dan tidak mahu apa-apa silauan menggangu pengalaman tontonan mereka.


Dari segi harga, IPS LCD mengatasi OLED yang mana ia lebih murah. Oleh itu ia masih digemari oleh kebanyakan pengeluar telefon pintar. Seperti yang dinyatakan di atas, panel IPS yang berkualiti boleh menawarkan sudut pandangan dan menerbitkan warna sama seperti skrin OLED. Adalah diingatkan bahawa anda tidak boleh mengharapkan telefon berharga murah untuk menawarkan kualiti paparan yang sama seperti telefon yang mahal hanya kerana ia menggunakan teknologi yang sama. Untuk ini, seperti iPhone telefon pintar Android turut menggunakan LCD IPS kecuali Samsung dan ini dapat dinilai walaupun material LCD skrin untuk iPhone dan Android adalah sama namun kualiti paparan masih berbeza mengikut harga telefon masing-masing.

KESIMPULAN

Kesimpulan yang dapat dibuat ialah di antara keempat-empat sistem operasi yang dijelaskan di atas, pengeluar-pengeluar sistem operasi tersebut telah bersaing dengan sengit sehingga ada yang mengundurkan diri daripada dunia sistem operasi mudah alih. Namun sehingga hari ini sistem operasi Android dan iOS masih mampu bertahan dan semakin maju ke hadapan. Ini adalah kerana kedua-duanya mempunyai peminatnya tersendiri dan permintaan terhadapnya sentiasa stabil. Antara sebabnya ialah, Android mempunyai pelanggan yang tetap daripada pelbagai pengeluar telefon pintar seperti Samsung, Huawei dan Vivo. Pengeluar telefon Android ini mempunyai model telefon dari yang mampu milik sehingga model yang eksklusif seperti Samsung Note 9 dan Huawei Mate 20 Pro. Ini membantu pengguna untuk membeli mengikut kemampuan masing-masing.
Tidak seperti iOS yang hanya terdapat pada telefon pintar mereka sendiri iaitu iPhone yang mana jenama telefon ini diketahui umum dari segi harganya yang mahal dan hanya boleh dimiliki oleh orang yang berpendapatan besar. Dengan menggunakan iPhone sahaja sudah cukup melambangkan imej pemakai kerana ia merupakan barangan mewah. Namun dari segi penggunaan aplikasinya sangat terhad kerana setiap aplikasi dikenakan bayaran. Dari segi keserasian dengan Windows juga sangat terhad yang mana jika pengguna mempunyai fail atau data untuk dipersembahkan, pengguna terpaksa menggunakan peranti seperti komputer riba Apple untuk mengeluarkan maklumat tersebut. Saranan saya untuk keperluan syarikat adalah lebih sesuai untuk memilih telefon pintar Android jenama Samsung. Ini adalah kerana Samsung mempunyai banyak pilihan varian seperti Note, Galaxy dan S. Tingkat harga untuk telefon pintar Samsung juga mempunyai banyak pilihan dan ini dapat menjimatkan perbelanjaan syarikat.



Wednesday 16 May 2018

Peranan Pengurus Kewangan dan Cabaran Masa Hadapan



Peranan Pengurus Kewangan


Seorang pengurus kewangan memainkan peranan penting dalam sesebuah syarikat bagi memastikan sasaran dan objektif yang telah ditetapkan oleh syarikat dapat di capai secara keseluruhannya. Pada dasarnya kita hanya mengetahui fungsi seorang pengurus kewangan adalah menyediakan sumber kewangan untuk keseluruhan perjalanan operasi syarikat. Namun realitinya pengurus kewangan memikul tanggungjawab yang sangat besar dalam sesebuah syarikat. Justeru itu, berikut merupakan peranan sebenar pengurus kewangan. Antaranya ialah membuat dan menyediakan perancangan kewangan syarikat berasaskan keperluan perniagaan untuk beroperasi. Hal ini kerana, tanpa perancangan kewangan yang teliti dan berkesan, syarikat akan berhadapan dengan masalah kewangan yang teruk. Contohnya, syarikat ingin membangunkan projek perumahan kos rendah di Kinarut. Oleh itu, pengurus kewangan perlu memastikan sama ada syarikat mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk melaksakan projek tersebut. Sekiranya tidak mencukupi, pengurus kewangan perlu mengenalpasti tindakan yang perlu di ambil oleh syarikat sama ada mendapatkan dana melalui pinjaman atau ekuiti bagi membiayai projek tersebut. Pengurus kewangan perlu memastikan setiap perancangan yang hendak di buat dapat memaksimumkan keuntungan selain mengawal perbelanjaan luar jangka agar pembaziran dapat dielakkan.

Selain itu, pengurus kewangan seharusnya bijak dalam menilai dan memilih sumber pembiayaan terbaik. Contohnya untuk memperolehi dana bagi membiayai projek perumahan di Kinarut, syarikat boleh membuat pinjaman daripada institusi kewangan yang menawarkan kemudahan kredit seperti bank-bank tempatan, koperasi, dan sebagainya. Walaubagaimanapun sebelum membuat pinjaman, pengurus kewangan perlu membuat analisis samada pembiayaan melalui ekuiti atau hutang yang terbaik atau kombinasi ekuiti dan hutang. Yang mana jika syarikat ingin mengurangkan jumlah pinjaman, pembiayaan boleh diperolehi dengan mengeluarkan saham biasa yang boleh meningkatkan jumlah ekuiti syarikat tersebut. Secara ringkasnya seorang pengurus kewangan harus mengenalpasti kaedah pembiayaan terbaik yang dapat memaksimumkan keuntungan syarikat.

Pengurus kewangan juga bertanggungjawab membuat perancangan dan ramalan kewangan yang mana ia bertujuan untuk memastikan syarikat mempunyai bekalan dana yang mencukupi untuk masa hadapan. Oleh yang demikian, pengurus kewangan memerlukan bantuan dan kerjasama semua pengurus dari jabatan lain dalam syarikat untuk memberikan maklumat yang bertepatan mengenai jangkaan perbelanjaan operasi pada masa akan datang. Contohnya, pengurus kewangan membuat ramalan keperluan tunai setiap berakhir tahun kewangan syarikat. Dengan adanya perancangan yang cekap dan input yang diberikan dari setiap jabatan dalam syarikat, pengurus kewangan berupaya menganggarkan keperluan tunai syarikat pada masa hadapan.

Peranan pengurus kewangan seterusnya adalah membuat kawalan dan koordinasi ke atas kewangan syarikat. Kawalan dan koordinasi ini sangat penting terutamanya di dalam syarikat yang mempunyai banyak bahagian atau jabatan. Pengurus kewangan perlu berinteraksi dengan semua pengurus-pengurus yang ada dalam syarikat agar kawalan dan koordinasi kewangan dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan. Contohnya, syarikat ingin membuat pengambilan pekerja baharu berikutan tenaga kerja yang tidak mencukupi untuk menjalankan operasi syarikat. Oleh itu, pengurus kewangan perlu memastikan Bahagian Sumber Manusia memilih calon yang berkelayakan untuk mengisi keperluan tenaga kerja tersebut kerana kesilapan membuat keputusan memilih calon yang tidak berkelayakan memberikan impak kepada kewangan syarikat. Impak tersebut adalah dari segi kos pengiklanan pengambilan pekerja baharu, membayar upah dan gaji, perubatan dan lain-lain kelebihan atau kebaikan yang diberikan oleh syarikat.

Akhir sekali, pengurus kewangan juga berperanan sebagai penasihat kepada barisan pengurusan. Barisan pengurusan ini bertanggungjawab dalam membuat pelbagai keputusan dalam syarikat termasuklah keputusan yang melibatkan kewangan seperti pelaburan, harga produk, polisi dividen, polisi pekerja dan kos kawalan. Namun keputusan ini perlu dilakukan secara terperinci dan semakan yang teliti dengan mengambilkira implikasi kewangan pada masa hadapan. Dengan itu, pengurus kewangan berperanan sebagai penasihat dalam mengurangkan beban pihak pengurusan dengan menyediakan laporan kewangan yang mudah difahami dan terperinci. Selain itu, mencadangkan margin keuntungan munasabah yang bakal diperoleh melalui kerja-kerja yang akan dilaksanakan oleh syarikat pada masa hadapan dengan melihat kepada potensi pasaran wang dan pasaran modal yang ada di Malaysia.


Dalam arus perubahan yang semakin pesat diseluruh dunia, pengurusan kewangan harus seiring dengan pembangunan dan perubahan yang berlaku dari segi sosio ekonomi, politik, teknologi dan dasar kewangan serantau. Oleh yang demikian, arus perubahan ini secara tidak langsung telah memaksa pengurs kewangan  mengadaptasi dan menerima perubahan yang berlaku agar tidak ketinggalan. Sebagai contoh yang pertama, keadaan persekitaran ekonomi yang tidak menentu telah menyebabkan semakin banyak dasar kewangan digubal oleh kerajaan. Ini adalah keperluan bagi memastikan dasar yang dibuat selaras dengan negara-negara lain. Secara tidak langsung pengurus kewangan perlu mempunyai keupayaan mempengaruhi polisi dan mengawal selia ke atas syarikat bagi mematuhi dasar-dasar yang diwujudkan.

Cabaran yang seterusnya ialah globalisasi. Untuk menjadi sebuah syarikat maju dan berdaya saing, syarikat seharusnya berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Apabila syarikat menjadi perniagaan global, pengurus kewangan perlu mempunyai pengalaman dan perspektif yang global. Untuk itu mereka mesti memahami bagaimana perniagaan mereka beroperasi di rantau dan budaya yang berbeza dari segi dasar kewangan untuk memberikan impak yang positif agar perniagaan dapat berkembang di pasaran baru.

Selain itu, pembangunan teknologi. Teknologi semakin berkembang pesat kerana telah dibangunkan oleh negara-negara maju seperti Jepun, Korea, Amerika dan seiring dengannya yang mana maklumat e-perniagaan sangat mudah untuk diakses bagi yang memerlukan. Namun, teknologi ini memerlukan dana yang besar untuk membeli perisian sistem maklumat, peralatan baru seperti pelayar komputer berkapasiti tinggi, mesin kiosk, penyelenggaraan dan melatih pekerja. Ini akan melibatkan kos yang sangat besar namun pulangannya juga sangat baik dan membantu dari segi penjimatan masa, tenaga kerja dan operasi lebih efisen dan tepat. Walaubagaimanapun setiap teknologi juga  mempunyai kelemahan yang sama iaitu pengodam sistem dan kegagalan operasi sistem yang boleh menyebabkan impak yang negatif kepada reputasi syarikat.


Namun salah satu cabaran yang paling mencabar bagi seorang pengurus kewangan ialah risiko pengurusan. Ini adalah kerana persekitaran ekonomi yang tidak menentu yang dipengaruhi oleh faktor nilai matawang, sosio ekonomi dan politik menyebabkan pengurus kewangan harus sentiasa membuat improvasi dan pendekatan yang proaktif dalam menghadapi risiko demi melindungi aset perniagaan, pelaburan, penyediaan wang tunai dan pulangan pemegang saham. Selain daripada itu pengurus kewangan bukan sahaja perlu membuktikan kepimpinan dan kualiti pengurusan kewangan tetapi juga perlu menjadi rakan strategik kepada CEO. Cabarannya di sini ialah seorang pengurus kewangan itu berkebolehan tinggi dalam memberikan input kepada ahli lembaga pengarah dalam membuat keputusan-keputusan yang strategik dengan lebih berkesan. Untuk menghadapi cabaran ini pengurus kewangan perlu mempunyai kemahiran komunikasi yang baik kerana bukan sahaja berurusan dengan para pelabur, bank dan pakar kewangan tetapi juga berbahasa dengan pelanggan, media dan badan-badan kerajaan.

Friday 8 December 2017

Prinsip Keadilan Asasi Dalam Siasatan Dalaman

Prinsip Keadilan Asasi Dalam Siasatan Dalaman 

Bagi menjamin kelancaran sesebuah industri, kod-kod tatatertib, kontrak perkhidmatan dan arahan-arahan haruslah dipatuhi sepenuhya untuk mengelakkan siasatan dalaman dilakukan. Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran kod-kod tatatertib atau kontrak perkhidmatan oleh mana-mana pekerja, maka dia boleh dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak majikan. Sebelum tindakan tatatertib dibuat, satu siasatan dalaman akan dibuat oleh pegawai pendakwa yang dilantik bagi mengumpul bukti-bukti kesalahan sebelum tuduhan dibuat. Prosedur siasatan dalaman ini dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dipersetujui dalam sesebuah organisasi.

Konsep siasatan dalaman mempunyai persamaan dengan perbicaraan yang dijalankan di dalam mahkamah, yang membezakannya ialah perbicaraan di mahkamah ialah kesalahan jenayah yang dilakukan terhadap individu atau masyarakat. Manakala perbicaraan siasatan dalaman pula ialah salah laku tatatertib atau pelanggaran kontrak perkhidmatan seseorang pekerja dalam sesebuah organisasi. Perbicaraan siasatan dalaman ini dilakukan di dalam syarikat sahaja dan di adili oleh ahli jawatankuasa tatatertib yang dilantik oleh syarikat.

Selain itu, perbicaraan yang dijalankan di mahkamah adalah berlandaskan Kanun Prosedur Jenayah, Akta Keterangan dan Kanun Keseksaan. Manakala perbicaraan siasatan dalaman pula dijalankan mengikut Prinsip Keadilan Asasi. Pegawai penyiasat tidak mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman kepada tertuduh melainkan ahli jawatankuasa tatatertib yang akan memutuskan hukuman yang telah diperuntukan mengikut jenis-jenis kesalahan yang dilakukan. Hukuman–hukuman yang diperuntukan oleh syarikat pula tidak boleh melebihi hukuman-hukuman yang terkandung dalam Akta Kerja 1955 bagi Semenanjung Malaysia dan Ordinan Sabah/Sarawak bagi Timur Malaysia.

Sebagai contoh setelah siasatan dalaman dilakukan oleh pihak majikan jika didapati bersalah  mengikut peruntukan hukuman yang paling berat iaitu penamatan perkhidmatan atau lebih dikenali sebagai dibuang kerja. Hukuman ini adalah sah dari segi undang-undang kerana ia telah mematuhi Akta Kerja 1955, Seksyen 14(1) di semenanjung atau Ordinan Buruh Sabah Seksyen 13(1) di negeri Sabah. Kedua-dua kandungan ini adalah sama iaitu,

Seorang majikan bolehlah, atas alasan-alasan salah laku yang berlawanan dengan pematuhan syarat-syarat perkhidmatan yang nyata atau tersirat, selepas siasatan yang sepatutnya;
a)          Memecat pekerja tanpa notis
b)         Menurun pangkat pekerja
c)          Mengenakan apa-apa hukuman ringan lain sebagaimana yang disifatkannya adil dan patut, dan jika hukuman penggantungan tanpa gaji dikenakan, ia tidak boleh melebihi suatu tempoh dua minggu.

Dalam akta ini jelas menyatakan bahawa majikan tidak boleh sewenang-wenangnya menamatkan perkhidmatan seorang pekerja walaupun pekerja itu telah melanggar kod tatatertib yang telah ditetapkan. Siasatan dalaman ini adalah prosedur tetap sebelum sebarang hukuman boleh dijatuhkan oleh jawatankuasa tatatertib.

Walaubagaimana pun jika seseorang pekerja yang ditamatkan perkhidmatannya merasakan situasi itu tidak adil ke atas dirinya, pekerja berkenaan boleh memfailkan aduan kepada Mahkamah Perusahaan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Seksyen 20. Isi kandung seksyen 20 ini menyatakan bahawa mana-mana pekerja samada dia ahli kesatuan pekerja ataupun sebaliknya dipecat tanpa sebab dan alasan yang munasabah oleh majikannya, boleh membuat representasi secara bertulis kepada Mahkamah Perusahaan untuk dipulihkan semula ke jawatan asal. Jelas sekali di bawah akta ini memberikan perlindungan kepada pekerja-pekerja yang yang dipecat tanpa sebab dan alasan yang munasabah dan memberikan peluang agar dikembalikan jawatan asalnya. Namun, akta ini tidak terpakai jika tuntutan ini buat melebihi tempoh had masanya iaitu 60 hari dari tarikh pemecatan.

Prinsip Keadilan Asasi


Bagi mengelakkan kes-kes yang melibatkan penamatan perkhidmatan boleh dirujuk semula ke Mahkamah Perusahaan, adalah penting bagi pihak majikan mengendalikan proses siasatan dalaman ini dengan menggunakan Prinsip Keadilan Asasi. Prinsip ini tidak ada mempunyai penjelasan yang khusus di dalam mana-mana akta atau peraturan yang melibatkan prosedur siasatan dalaman. Namun pemakaian prinsip ini adalah meluas dan merupakan syarat minima untuk menjamin keadilan dalam perbicaraan siasatan dalaman.

Prinsip keadilan asasi ini telah lama wujud dan ianya dikembangkan daripada Sistem Common Law Inggeris. Menurut Lord Evershed, Master of the Rolls “Natural Justice is the natural sense of what is right and wrong.” [1] Di mana ia bermaksud keadilan asasi ialah sifat semulajadi antara betul dan salah. Maka adalah penting prinsip ini digunakan sebagai asas untuk membuat suatu keputusan yang adil dan saksama oleh mana-mana badan atau individu yang diberi tanggungjawab untuk bertindak secara kehakiman.

Prinsip keadilan asasi terdiri daripada dua aspek utama yang perlu dipatuhi iaitu prinsip yang pertama audi alteram partem. Dibawah prinsip ini ia membawa maksud orang yang berkenaan atau tertuduh diberi peluang yang mencukupi untuk menyatakan kesnya semasa perbicaraan. Terdapat ciri-ciri yang perlu dipatuhi dibawah prinsip audi alteram partem ini iaitu;

a)          Keperluan notis pemberitahuan tentang kesalahan kepada pekerja yang berkenaan.
b)         Peluang untuk membuat representasi jawapan atau hujah kesnya dalam masa yang munasabah. Representasi ini boleh dibuat secara lisan atau bertulis.
c)          Hak untuk menyoal saksi dan diwakili oleh peguam.
d)         Hak untuk diberitahu keputusan dan alasan keputusan
e)          Pertimbangan berdasarkan kes terdahulu dan prinsip "pembebasan dahulu" (autrefois acquit), "sabitan dahulu" (autretois comvict), dan res judicata;
f)            Hak untuk merayu dan dengar semula

Untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai ciri-ciri dibawah prinsip audi alteram partem, berikut ialah penjelasan yang lebih terperinci bagi setiap ciri-ciri tersebut. Bermula dengan ciri-ciri yang pertama iaitu Keperluan Notis Pemberitahuan kepada pekerja yang didapati melakukan kesalahan. Adalah penting di sini bagi tertuduh mendapat notis pemberitahuan kepadanya supaya situasi itu adil kerana tanpa notis pemberitahuan akan berlaku pertikaian keadilan asasi dalam kesnya.

Sebagai contoh bagi keperluan notis pemberitahuan, dalam kes Surrinder Singh Kanda lwn Kerajaan Malaysia [2] Hakim Lord Denning menyebut;
“Jika hak untuk didengari hendak dijadikan hak sebenar-benarnya yang amat bermakna, ia hendaklah juga dikaitkan dengan hak orang yang dituduh untuk mengetahui kes yang dikenakan terhadapnya”.
Dengan erti kata lain, hak untuk diberitahu kesalahan yang telah dilakukan ialah salah satu ciri utama  dalam hak keadilan asasi. Antara perkara-perkara yang penting perlu dinyatakan dalam notis pemberitahuan ialah;

  1. Masa dan tarikh kesalahan dilakukan
  2. Tempat kesalahan dilakukan
  3. Jenis kesalahan/perbuatan yang dilakukan
  4. Kepada siapa dan dengan siapa kesalahan dilakukan
  5. Peruntukan undang-undang atau peraturan yang telah dilanggar oleh pekerja berkenaan.

Sekiranya seorang pekerja dituduh lebih daripada satu tuduhan, maka tuduhan yang pertama dan kedua haruslah diberitahu juga bagi mengelakkan pelanggaran prinsip keadilan asasi. Sebagai contoh kes Lembaga Pemegatig Amanah lawan Mahmud[3], jika ada dua tuduhan atau pengaduan terhadap seseorang janganlah memberitahu orang itu satu tuduhan sahaja.

Setelah tuduhan diberitahu kepada pekerja berkenaan, pekerja tersebut hendaklah diberi peluang untuk membuat representasi dengan tempoh masa yang paling munasabah. Ciri-ciri ini adalah kedua dalam prinsip audi alteram partem. Representasi ini adalah peluang atau ruang untuk pekerja berkenaan memberikan jawapan dan dan alasan bagi membela diri daripada tuduhan yang dikenakan ke atasnya. Dalam kes Russel lawan Duke of Norfok[4], Ketua Hakim Tucker ada menyebut bahawa:
“Keperluan keadilan asasi mestilah bergantung kepada persekitaran kes, bentuk siasatan yang dijalankan, peraturan dengan mana tribunal itu bertindak, perkara pokok yang diuruskan dan sebagainya….salah satunya ialah dia diberi peluang untuk menyatakan kesnya”.

Bagi konsep masa yang paling munasabah dalam membuat representasi pula ukuran sesuatu masa itu sukar ditentukan. Ini adalah kerana ianya bergantung kepada kes masing-masing di mana bagi kategori kes yang rumit memerlukan masa yang lebih untuk mendapatkan maklumat yang mendalam berbanding kes yang mudah. Contohnya kes penyelewengan adalah lebih rumit dan memerlukan banyak masa untuk menyediakan bahan atau saksi jika dibandingkan dengan kes pergaduhan ditempat kerja semasa untuk membuat representasi membela diri. Oleh yang demikian kebanyakan syarikat pada hari ini telah menetapkan masa yang munasabah untuk membuat pekerja yang dituduh membuat representasi iaitu tempoh masa yang minimum ialah 14 hari manakala maksimum ialah 21 hari.

Semasa membuat representasi, tertuduh boleh membuat secara lisan atau bertulis kepada ahli jawatankuasa tatatertib. Dalam kes Peguam Negara lawan Ryan[5] ada menyebut bahawa tiada peraturan tetap yang menyatakan bahawa mendengar hujah mestilah dengan cara lisan. Ini adalah kerana sesetengah orang tidak mahir dalam tulisan tetapi pandai menyampaikan hujah secara lisan. Dalam kes In re Moore[6], hasil mesyuarat mahkamah ada menyebut bahawa dalam perbicaraan oleh tribunal ( seperti jawatankuasa tatatertib ), peraturan tetap penerimaan keterangan seperti di mahkamah tidak semestinya diikuti. Tribunal tidak terikat untuk menerima keterangan dalam mahkamah. Ia boleh menerima keterangan lain seperti pengetahuan peribadi dan luahan, asalkan ia ada nilai yang boleh disahkan.

Bagi ciri-ciri yang ketiga iaitu hak menyoal saksi dan hak diwakili oleh peguam ialah di mana seseorang pekerja yang dituduh berhak untuk menyoal saksi yang dibawanya dalam perbicaraan dan di wakili oleh peguam untuk membela kesnya. Dalam artikel “ Administrative Law in Malaysia” Professor MP Jain ada menyebut bahawa tidak ada peraturan yang mengenepikan orang yang berkenaan diwakili oleh peguam atau tidak bergantung kepada sepenuhnya budi bicara pihak berkuasa yang berkenaan. Walaubagaimanapun timbul persoalan di mana adakah perlu bagi pekerja yang berkenaan berhak untuk menyoal saksi. Bagi mencapai keadilan asasi yang ditekankan, dalam kes De Vertuil lawan Knaggs,[7] ada menyatakan bahawa hak menyoal saksi yang dibawa tidak diperlukan oleh keadilan asasi. Ini bermaksud apabila jawatankuasa tatatertib memanggil saksi-saksi, pekerja yang dituduh hendaklah diberi peluang untuk menyoal balas saksi bagi dirinya.

Ciri-ciri yang seterusnya hak untuk diberitahu dan alasan keputusan kes iaitu apabila jawatankuasa tatatertib telah mencapai sesuatu keputusan maka tertuduh berhak untuk diberitahu keputusan kes tersebut dan alasan keputusan itu. Ini adalah kerana keputusan kes itu yang akan menentukan masa depan perkhidmatan pekerja berkenaan. Sebagai contoh sekiranya tertuduh di dapati bersalah, pekerja berkenaan berhak diberitahu untuk membolehkannya menggunakan hak membuat rayuan. Sekiranya tidak didapati bersalah pula semestinya pekerja berkenaan tidak perlu berbuat demikian. Untuk alasan keputusan pula, ianya adalah perlu bagi pekerja berkenaan mengambil maklum akan alasan keputusan terhadapnya supaya pertikaian boleh dibuat sekiranya alasan yang diberi tidak munasabah.

Untuk ciri-ciri hak tidak dihukum dua kali atas kesalahan yang sama di mana seseorang yang telah jatuhkan hukuman atau dibebaskan daripada tuduhan tidak boleh dibicarakan semula atas kesalahan yang sama. Hak ini adalah terpakai dalam kepada siasatan dalaman dengan merujuk kepada kes Mohamed Yusof Samadi lawan Peguam Negara Singapura[8] di mana Y seorang guru telah didakwa di Mahkamah Majistret atas lima tuduhan di bawah Seksyen 354, Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah ke atas empat orang murid perempuan yang menjatuhkan maruah murid-muridnya. Hasil daripada perbicaraan di Mahkamah Majistret , Y telah dilepaskan dan dibebaskan daripada semua tuduhan. Kemudian Suruhanjaya Perkhidmatan Awam telah mengenakan lima tuduhan terhadap Y di bawah Peraturan 4, Peraturan Perkhidmatan Awam (Tindakan Tatatertib) 1970, dengan tujuan buang kerja.  Lima tuduhan itu adalah tentang penyalahgunaan kedudukannya sebagai guru dengan melakukan perbuatan menjatuhkan maruah lima orang murid perempuan yang berkenaan. Y telah membuat bantahan dan memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang menjadikan kuasanya di bawah Peraturan II dengan mengenakan tindakan tatatertib Y adalah tidak munasabah, melampaui batas, menyalahgunakan kuasa dan tidak selaras serta melanggar prinsip keadilan asasi dan melanggar Perkara 7(2) Perlembagaan.  Oleh sebab itu sebab Y telah dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Majistret, maka menjadi satu halangan (estoppel) atau res judicata dan tidak selaras bagi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mengenakan tuduhan yang sama dan pernyataan fakta atau menimbulkan sebahagian besar isu yang sama seperti dalam kes yang telah menyebabkan Y dibebaskan.

Oleh yang demikian dalam kes ini Y di tuduh sebanyak dua kali atas kesalahan yang sama tetapi hendak dibicarakan dengan menggunakan kanun keseksaan dan tindakan tatatertib di mana ia berbeza dan telah melanggari prinsip keadilan asasi.

Ciri-ciri yang terakhir di bawah prinsip audi alteram partem ialah hak untuk merayu dan di dengar semula di mana pekerja yang tidak berpuas hati dengan keputusan jawatankuasa tatatertib ke atasnya berhak membuat rayuan. Antara rayuan yang boleh dibuat ialah hukuman di ringankan, keputusan yang dibuat adalah salah dan memohon untuk jawatankuasa tatatertib membuat pertimbangan semula ke atas bukti atau fakta kes. Selepas rayuan dibuat, majikan akan menubuhkan satu jawatankuasa rayuan tatatertib  bagi mendengar kes rayuan yang dibuat oleh pekerja berkenaan. Sebagai contoh seorang pekerja didapati bersalah kerana tidak hadir bertugas sedangkan pekerja berkenaan telah mengemukakan dokumen perubatan sebagai bukti tidak hadir bertugas. Namun jawatankuasa tatatertib tidak mengambil kira akan dokumen perubatan tersebut, oleh itu pekerja berkenaan telah membuat rayuan di atas alasan dokumen perubatan yang dikemukakan tidak dipertimbangkan oleh jawatankuasa tatatertib.

Prinsip keadilan asasi yang kedua pula ialah prinsip tidak berat sebelah (bias) atau dalam bahasa latin nemo judex in causa sua polest. Maksudnya seseorang yang berkepentingan dalam sesuatu kes yang dikendalikannya, oleh itu dia tidak layak untuk mengendalikan kes tersebut kerana keputusan kes akan dipengaruhi atas sebab-sebab pihak yang berkepentingan atau mempunyai perhubungan yang seumpama dengannya. Sebagai contoh jika salah seorang daripada ahli jawatankuasa tatatertib mempunyai kepentingan kewangan dalam siasatan dalaman akan menimbulkan keadaan berat sebelah. Dalam kes R lawan Hamond,[9] Hakim Blackburn menyatakan jika wujud kepentingan kewangan walaupun sedikit sudah cukup untuk mengatakan dia berat sebelah.

Bagi yang ada hubungan kait seperti pertalian atau persaudaraan juga akan menimbulkan situasi kes berat sebelah. Terdapat dua jenis keadaan yang menentukan berat sebelah kerana mempunyai pertalian atau persaudaraan iaitu contoh yang pertama dalam siasatan dalaman jika salah seorang jawatankuasa tatatertib mempunyai hubungan keluarga seperti sepupu atau anak saudara dengan tertuduh, maka ia boleh dianggap bahawa kes itu akan menjadi berat sebelah. Contoh yang kedua pula ialah di mana ahli jawatankuasa tatatertib merupakan ahli pertubuhan yang sama dengan tertuduh maka situasi ini juga akan mempengaruhi keputusan kes di mana wujud berat sebelah.

Ketidakadilan Kepada Majikan


Dengan ini adalah penting bagi majikan untuk menerapkan prinsip-prinsip keadilan asasi dalam siasatan dalaman agar setiap kes di kendalikan dengan saksama dan adil kepada pekerja yang dituduh. Walaubagaimanapun timbul juga ketidakadilan kepada majikan dalam melaksanakan prinsip ini apabila pekerja yang dituduh dengan sengaja mengambil kesempatan menggunakan prinsip ini untuk kepentingan diri. Dibawah prinsip audi alteram partem, notis pemberitahuan yang mesti disampaikan kepada pekerja yang dituduh di mana dengan sengaja mengelak untuk tidak menerima notis tersebut. Ini menyebabkan prosedur tatatertib tidak dapat diteruskan. Begitu juga dengan peluang membuat representasi atau hujah dengan masa yang munasabah secara lisan atau bukan lisan di mana terma masa yang munasabah itu disalahgunakan sebagai medium untuk menangguhkan perbicaraan.

 Sebagai contoh apabila tarikh perbicaraan telah ditetapkan tertuduh tidak hadir dengan memberi alasan-alasan kecemasan seperti sakit, masalah keluarga atau ahli keluarga sakit tenat dan sebagainya supaya perbicaraan itu ditangguhkan ke tarikh yang lain. Adakalanya suatu kes itu akan memakan masa hingga berbulan-bulan kerana untuk menetapkan suatu tarikh perbicaraan syarikat mengambil kira akan masa ahli-ahli jawatankuasa tatatertib yang juga terikat dengan kerja hakiki. Keadaan ini tidak adil kepada majikan kerana ianya menyebabkan syarikat menanggung kerugian dari segi masa dan kewangan di mana walaupun tertuduh masih dalam perbicaraan tetapi masih menerima gaji bulanan.

Selain itu, pihak majikan juga mengalami dilema semasa menyediakan tempat perbicaraan di mana tempat itu haruslah dalam keadaan yang selesa dan menyenangkan bagi pekerja yang dituduh. Ini adalah kerana tempat perbicaraan yang kurang selesa bagi tertuduh boleh dijadikan pertikaiaan dengan menjadi alasan tempat itu terlalu jauh, tidak selesa dan keadaan bilik menyebabkan emosi mereka terganggu. Sebagai contoh, bagi syarikat yang mempunyai cawangan-cawangan di luar kawasan bandar mereka tidak mempunyai kemudahan bilik perbicaraan seperti di ibu pejabat. Jika perbicaraan diadakan di ibu pejabat, ianya akan membebankan pekerja berkenaan dari segi kos tempat tinggal, pengangkutan dan masa perjalanan. Ini akan dijadikan sebagai isu bahawa pihak syarikat tidak bersikap adil dan sengaja memberikan tekanan kepada pekerja berkenaan.

Oleh yang demikian berdasarkan contoh-contoh yang diberi memang timbul ketidakadilan bagi pihak majikan semasa melaksanakan siasatan dalaman demi mematuhi prinsip-prinsip keadilan ini.

Cadangan Pindaan Undang-Undang


Cadangan yang pertama ialah bilangan cuti bersalin kepada 90 hari yang mana di dalam Akta kerja 1955, Bahagian IX Perlindungan Cuti Bersalin (d) ii. menyatakan  bahawa tempoh layak cuti bersalin tidak kurang daripada 60 hari dalam setahun. Adalah dicadangkan agar tempoh layak cuti bersalin ini dipinda kepada tidak kurang daripada 90 hari setahun. Ini adalah untuk memberi ruang masa yang lebih semasa tempoh berpantang melebihi 44 hari untuk tujuan kesihatan badan dan kestabilan emosi. Selain itu tempoh 90 hari ini adalah relevan di mana ia juga memberikan masa untuk ibu-ibu membuat persediaan penjagaan anak sewaktu kembali ke tempat kerja. Pada masa kini tidak mudah bagi ibubapa mencari pusat penjagaan anak yang sesuai dalam masa yang singkat. Selain itu tempoh 90 hari ini juga dapat membantu sedikit sebanyak dalam saranan Kementerian Kesihatan Malaysia Polisi Penyusuan Susu Ibu. Impak daripada cadangan pindaan ini ialah produktiviti  pekerja wanita yang kembali dari cuti bersalin ini tidak jatuh dan lebih fokus dengan kerja.

Cadangan pindaan yang seterusnya juga melibatkan bilangan cuti iaitu cuti tahunan daripada yang sedia ada dalam Akta Kerja 1955, Bahagian XII,60E (1) iaitu seorang pekerja layak mendapat cuti tahunan berbayar;
a)          8 hari untuk tempoh 12 bulan dengan majikan yang sama bagi tempoh perkhidmatan  kurang dua tahun
b)         12 hari untuk tempoh 12 bulan dengan majikan yang sama bagi tempoh dua tahun ke atas tetapi dibawah 5 tahun
c)          16 hari untuk tempoh 12 bulan dengan majikan yang sama bagi tempoh 5 tahun ke atas

Cadangan cuti tahunan berbayar ini dipinda seperti berikut;
a)          14 hari untuk tempoh 12 bulan dengan majikan yang sama bagi tempoh perkhidmatan  kurang dua tahun
b)         16 hari untuk tempoh 12 bulan dengan majikan yang sama bagi tempoh dua tahun ke atas tetapi dibawah 5 tahun
c)          18 hari untuk tempoh 12 bulan dengan majikan yang sama bagi tempoh 5 tahun ke atas
Tujuan pindaan cuti ini dibuat adalah kerana sebilangan majikan memberikan cuti tahunan berbayar yang berbeza antara pekerja bukan eksekutif dan pekerja eksekutif. Perbezaan cuti tahunan  bagi pekerja bukan eksekutif dan pekerja eksekutif ini sangat besar hingga tidak adil kepada pekerja bukan ekeskutif. Sebagai contoh syarikat A memperuntukkan cuti 10 hari setahun untuk tempoh perkhidmatan di bawah 5 tahun bagi pekerja bukan eksekutif manakala pekerja eksekutif diberikan kelayakan 27 hari setahun bagi tempoh perkhidmatan yang sama. Berdasarkan contoh ini timbul persoalan mengapa bilangan cuti tahunan untuk pekerja eksekutif melebih dua kali ganda daripada pekerja bukan eksekutif ? dan dari segi keperluan bercuti adakah seorang eksekutif lebih memerlukan berbanding pekerja bukan eksekutif ? Maka untuk menambah baik dan lebih adil cadangan pindaan bilangan cuti tahunan berbayar ini adalah relevan. Selain itu kebanyakan pekerja bukan eksekutif ini berasal dari luar bandar dan ada juga dari kawasan pedalaman.

Seperti yang kita maklum perjalanan pergi ke kawasan-kawasan ini mengambil masa sehari begitu juga dengan perjalanan pulang. Jika seorang pekerja bukan eksekutif mengalami kesusahan di kampung sudah tentu mengambil masa tiga hari termasuk masa perjalanan dan urusan yang tidak melibatkan kematian. Ini tidak termasuk bagi mereka yang telah berkeluarga yang sangat memerlukan cuti bukan untuk rehat semata-mata tetapi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa menguruskan persekolahan dan kesihatan anak-anak. Perkara seperti ini harus dipandang serius kerana adakalanya seorang ibu atau bapa yang telah menghabiskan cuti untuk menguruskan keluarga terpaksa mengambil cuti tanpa gaji disamping. Ini menambahkan beban kepada meraka kerana kadar gaji pekerja bukan eksekutif tidaklah setinggi pekerja eksekutif. Maka cadangan ini sangat wajar dipertimbangkan.

Cadangan pindaan yang terakhir pula ialah mewujudkan kategori-kategori penuntut yang tidak layak membuat representasi untuk pemulihan kerja dalam Akta Perhubungan Perusahaan 1967, antara kategori-kategori itu ialah;

a)          Pekerja dalam tempoh percubaan
b)         Pekerja kontrak yang bertempoh tetap
c)          Pekerja yang diberhentikan akibat penutupan penuh syarikat

Sebab-sebab kategori ini harus diwujudkan adalah kerana kebanyakan kes yang ditamatkan perkhidmatan adalah disebabkan pelanggaran kod tatatertib atau pelanggaran kontrak perkhidmatan. Sebagai contoh pekerja dalam tempoh percubaan, biasanya ditamatkan perkhidmatan kerana tidak menunjukkan prestasi yang baik sepanjang tempoh percubaannya. Adalah menjadi beban bagi syarikat untuk melantik pekerja ini ke jawatan tetap berdasarkan prestasi yang kurang memuaskan. Bagi pekerja kontrak bertempoh tetap pula, pada kebiasaanya ditamatkan kontrak kerana masalah disiplin seperti datang lewat dan ponteng kerja. Ini adalah kerana pekerja kontrak tidak termasuk dalam keistimewaan perjanjian kolektif, maka mereka merasakan tidak terikat dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan.

Bagi kategori yang terakhir pula, pekerja yang diberhentikan disebabkan penutupan penuh syarikat yang mana adalah tidak relevan untuk menuntut pemulihan semula jawatan sedangkan syarikat itu ditutup sepenuhnya. Penutupan sebuah syarikat biasanya adalah disebabkan tidak mampu lagi untuk beroperasi dari segi kewangan. Oleh itu pihak syarikat terpaksa memberhentikan pekerja-pekerjanya dengan pampasan yang telah dipersetujui. Sebagai resolusi untuk ketiga-tiga kategori ini, adalah dicadangkan agar mereka menyelesaikan pertikaian melalui perunding atau pendamai swasta. Pilihan ini adalah lebih jimat dan tidak mengambil masa yang lama berbanding representasi di mahkamah.

Kesimpulan


Secara keseluruhnya, prinsip keadilan asasi harus diamalkan oleh majikan dalam melaksanakan siasatan dalaman terhadap pekerja yang dituduh untuk mencapai kesaksamaan dan keadilan. Pematuhan terhadap prinsip keadilan boleh mengelakkan kes-kes siasatan dalaman boleh dirujuk semula ke mahkamah untuk semakan semula keputusan yang diambil. Walaupun prinsip keadilan ini terlalu tegar dan adakalanya menyebabkan ketidakadilan kepada majikan semasa melaksanakannya, ianya masih berbaloi untuk diteruskan kerana mahkamah akan mengambil kira semua usaha pihak majikan dalam pemamatuhan syarat prinsip keadilan asasi. Bagi cadangan-cadangan pindaan yang telah disebutkan di atas ianya wajar dipertimbangkan dan di perhalusi lagi kerana cadangan-cadangan tersebut adalah adil kepada pihak majikan mahupun pekerja dari segi kebajikan dan keharmonian perusahaan. Selain itu ianya juga bersesuaian dengan arus perubahan sosio ekonomi dan institusi kekeluargaan dalam Malaysia.



[1]  Vionet v. Barret (1855,55LLJ QB,39, Page 45)
[2] (1962) AC 322; (1962) 2 WLR 11 53; MLJ 169 hlm.171
[3] (1867) 1 AC 13
[4] (1949) Ail E.R. 109 him. 11 8
[5] (1980) A.C.48
[6] (1965) 1 Q.B. 456
[7] (1918)  A.C. 179
[8] (1975) 1 MLJ 1.
[9] (1863) L.T (N.S) 423 hlm. 424

Sistem Operasi Telefon Mudah Alih